28 kaunter perkhidmatan kerajaan dibuka sempena Jelajah AKM Sarawak | DagangNews Skip to main content

28 kaunter perkhidmatan kerajaan dibuka sempena Jelajah AKM Sarawak

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Sebanyak 28 kaunter perkhidmatan kerajaan akan dibuka sepanjang program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat Sarawak yang akan berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini dari 5 hingga 7 Ogos 2022.

 

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri, Wan Azilawati Wan Mahmood berkata program yang akan bermula dari 9 pagi dan 9 malam itu merupakan siri ketujuh selepas penganjurannya di Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak dan Kelantan. 

 

“Kaunter-kaunter ini akan menyediakan  bantuan dan perkhidmatan langsung kepada rakyat, sebagai contohnya perkhidmatan penukaran kad pengenalan, tujuh kaunter bergerak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Yapiem, Klinik Mata dan sebagainya,” katanya pada sesi wawancara di TV AlHijrah hari ini, lapor Bernama.

 

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menganjurkan program jualan murah barangan keperluan dengan diskaun harga antara 15% hingga 30%.

 

Katanya dengan penganjuran ini adalah diharap konsep Keluaraga Malaysia yang mempunyai tiga nilai utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dapat difahami dan dihayati dengan lebih jelas oleh rakyat di negeri itu.

 

Wan Azilawati berkata, selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk menikmati jamuan makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Katanya, untuk maklumat  lanjut, orang ramai boleh melayari laman  web www.keluargamalaysia.gov.my dan pengunjung juga dinasihatkan untuk terus bersamasama mematuhi prosedur operasi standard dalam tempoh endemik demi keselamatan diri dan keluarga. - DagangNews.com