295 graduan terima pengktirafan pada majlis Konvokesyen Ke-12 INCEIF | DagangNews Skip to main content

295 graduan terima pengktirafan pada majlis Konvokesyen Ke-12 INCEIF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Seramai 295 graduan dari 41 negara termasuk Rusia, Arab Saudi, Sweden, Indonesia dan Malaysia menerima pengiktirafan masing-masing dalam industri kewangan Islam semasa majlis Konvokesyen ke-12 Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) yang berlangsung pada 18 Disember lalu.

 

Daripada jumlah itu, 18 daripadanya menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Kewangan Islam; 135 penerima Ijazah Sarjana Praktis Kewangan Islam; 42 penerima Ijazah Sarjana Muda di dalam Kewangan Islam dan 32 penerima Sijil Profesional Kewangan Islam Berkanun. 

 

Selain itu, 61 individu menerima Sijil Profesional Kewangan Islam dan tujuh penerima Ijazah Sarjana Eksekutif Kewangan Islam.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof. Datuk Dr. Mohd. Azmi Omar berkata, beliau berbangga dengan kesungguhan para graduan yang berjaya melalui proses pembelajaran dalam keadaan yang amat mencabar ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. 

 

Beliau berkata, kemajmukan graduan INCEIF mengabsahkan peranan universiti ini dalam memupuk bakat bertaraf dunia di dalam industri kewangan Islam dan mengetengahkan lagi peranan Malaysia sebagai pusat pendidikan dan kajian bertaraf global di dalam bidang ini. 

 

“INCEIF amat berbangga dengan kesabaran, komitmen, daya ketahanan serta kesungguhan para graduan untuk meneruskan pengajian secara jarak jauh, dan mengikuti kuliah secara maya, satu kaedah pembelajaran yang agak tidak sesuai bagi pelajar peringkat sarjana. Namun anda semua berjaya menempuhinya.

 

inceif
Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menyampaikan Anugerah Presiden 2021 kepada Dr. Muhammad Mahmudul Karim dari Bangladesh.

 

"Ini adalah masa yang paling tepat untuk memacu agenda dan misi industri kewangan Islam dalam segala segi sama ada melalui sistem kewangan yang inklusif dan saksama, inovasi Fintech atau teknologi kewangan, instrument pembangunan lestari, alatan dan aplikasi sosio ekonomi dan sebagainya," katanya.

 

Kesemua sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Canselor INCEIF, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah INCEIF, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pro-Canselor, Dr. Rozali Mohamed Ali.

 

inceif
Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (duduk di tengah) dan Pengerusi Lembaga Pengarah INCEIF, Tan Sri Azman Mokhtar (dua dari kiri) bersama-sama ahli lembaga pengarah INCEIF dan ahli Senat. 

 

Konvokesyen itu juga merupakan yang terakhir buat Zeti Akhtar dan Rozali selepas kedua-dua mereka melepaskan jawatan masing-masing dan bersara daripada sebarang tanggungjawab rasmi di INCEIF. 

 

Sementara itu, Mohd. Azmi turut merakamkan penghargaannya kepada mereka yang telah banyak memberikan sumbangan kepada INCEIF, sama ada dari segi nasihat, perkongsian ilmu, kolaborasi dan kewangan.

 

Beliau menegaskan, komitmen INCEIF untuk terus membangunkan industri dan meningkatkan fokus industri, kualiti program serta kajian dan juga kedudukannya di kalangan universiti-universiti terbaik di dunia. - DagangNews.com