KUALA LUMPUR 26 Julai - Seramai 298,306 pekerja sektor pembuatan menerima dos pertama vaksin COVID-19 mereka di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat 25 Julai 2021.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dalam hantaran di laman media sosialnya berkata daripada jumlah pekerja yang telah menerima dos pertama itu seramai 28,596 pekerja telah menerima dos kedua vaksinasi.
“Pelaksanaan PIKAS dilipatgandakan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Penggunaan Umum sebagai usaha untuk mempercepatkan vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan,” katanya.
PIKAS dibentuk bertujuan untuk mempercepatkan vaksinasi kepada kira-kira dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang akhir suku ketiga tahun ini.
Di bawah PIKAS, kerajaan akan menyediakan vaksin percuma manakala sektor swasta akan menguruskan pentadbiran PPV termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan swasta. - DagangNews.com