KUALA LUMPUR 23 Mac - Platform pembayaran global, 2C2P dan ShopeePay berkolaborasi untuk memperluas pembayaran digital bagi rangkaian pedagang merentasi lima pasaran di Asia Tenggara.
Menerusi inisiatif itu, perniagaan dan peruncit di seluruh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menerima pembayaran tanpa tunai dengan lancar serta mudah.
Menurut IDC Infobrief, penggunaan e-dompet akan berkembang pada kadar purata 35.3% dari 2020 hingga 2025.
Dengan menyediakan pengalaman pelanggan yang mudah, selamat dan bermanfaat untuk pembeli, ShopeePay mempercepatkan penggunaan e-dompet dan membantu perniagaan menangkap peluang baharu.
Pengarah Eksekutif, Perniagaan dan Pembangunan Produk 2C2P, Agnes Chua berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan ShopeePay bagi menyediakan akses kepada rangkaian pilihan pembayaran yang lebih luas kepada rangkaian pedagang.
"Kami sudah pun bekerjasama di Singapura dan Thailand dan perkongsian lanjutan ini mempamerkan sinergi kerjasama kami. Kini, dengan ShopeePay, peniaga boleh beroperasi pada kos yang lebih rendah, mengembangkan jangkauan mereka kepada lebih ramai pelanggan dan meningkatkan penukaran jualan.
"Perkongsian kami menjejak pantas penyelesaian digital termaju untuk peniaga dan bank untuk meningkatkan jualan, volum transaksi, kelebihan daya saing dan menyelaraskan perkhidmatan,” katanya.
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee pula berkata, pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan 2C2P bagi membolehkan rangkaian pedagang mereka meraih lebih banyak jualan dengan cara yang selamat dan lancar.
"ShopeePay komited untuk meningkatkan akses kepada pembayaran digital dan meningkatkan kehidupan individu dan perniagaan melalui teknologi,” katanya. - DagangNews.com