3 bidang fokus utama APEC hadapi COVID-19, kata Pengerusi ABAC | DagangNews Skip to main content

3 bidang fokus utama APEC hadapi COVID-19, kata Pengerusi ABAC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) percaya inilah masanya untuk ekonomi-ekonomi anggota untuk bersepakat berdepan cabaran sama yang dihadapi, iaitu pandemik COVID-19. 

 

Mengangkat tiga bidang sebagai fokus utama iaitu integrasi, inovasi dan keterangkuman, Pengerusi ABAC, Datuk Rohana Mahmood (gambar atas) melihat cabaran pandemik itu memerlukan kerjasama, penyelarasan dan kolaborasi. 

 

“Ini merupakan waktu-waktu yang tidak terjangka dan memerlukan tindak balas berani. Dunia berdepan krisis kesihatan dan ekonomi hebat selama seratus tahun.

 

“Kita kuat apabila bekerjasama. Kami menyeru Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) di Asia Pasifik. Nilai-nilai ini telah membimbing kita sepanjang tahun ini dan penting untuk pemulihan kita semua,” kata Rohana dalam satu kenyataan dikeluarkan ABAC hari ini. 

 

Pada pagi tadi, ABAC telah mengadakan mesyuarat secara maya menjelang perjumpaan pemimpin ekonomi APEC pada 20 November ini. 

 

Tambah Rohana, tindak balas krisis tetap menjadi penekanan penting di kebanyakan ekonomi dan memerlukan tumpuan berterusan bagi memastikan terdapat akses ke bekalan dan perkhidmatan perubatan penting termasuk vaksin. 

 

Dalam pada itu, tindak balas berkenaan penting untuk memastikan rantaian bekalan berfungsi dan mengelakkan pendekatan dasar berbeza termasuk dalam ekonomi digital dan perjalanan semula yang selamat. 

 

Jelas Rohana, ini dapat membantu menghidupkan semula aktiviti perniagaan serta permintaan pasaran yang seterusnya merancakkan pemulihan ekonomi global.

 

Sementara itu, berucap pada pembukaan perjumpaan ABAC hari ini, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, memandangkan ekonomi global kian berkembang, maka peranan ABAC juga menjadi semakin penting. 

 

mohamed azmin
Mohamed Azmin Ali

 

“Kami telah mengenal pasti kepentingan inovasi, ketersambungan dan keperluan untuk membangunkan infrastruktur digital mantap dengan persekitaran kawal selia bersesuaian untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan menyeluruh. 

 

“Saya percaya sektor swasta boleh memainkan peranan lebih aktif dan berkesan dalam menggerakkan rantau ini ke arah haluan pemulihan ekonomi,” kata Mohamed Azmin. 

 

Bagi mencapainya, kata Mohamed Azmin, kesemua ekonomi anggota perlu melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, wanita, masyarakat pribumi dan golongan muda dalam mewujudkan peluang untuk memastikan keuntungan perdagangan dan kemakmuran rantau terus dibahagi secara adil. - DagangNews.com

 

logo apec