3 faktor dorong peningkatan pendapatan 2.1% MyEG pada 2Q20 | DagangNews Skip to main content

3 faktor dorong peningkatan pendapatan 2.1% MyEG pada 2Q20

MyEG

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos - CGS-CIMB Research menggariskan tiga faktor yang menjadi pendorong kepada Syarikat MyEG Services Berhad untuk mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 2.1% pada suku kedua 2020.

CGS-CIMB Research berkata, peningkatan jumlah akses dalam talian untuk tujuan pembaharuan insurans dan cukai jalan susulan penutupan kaunter kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi penyumbang kepada pendapatan MyEG.

"Selain itu, jumlah pendapatan juga dikaitkan dengan perkhidmatan baharu yang ditawarkan MyEG yang berkaitan dengan pemeriksaan kesihatan COVID-19.

"Platform e-dagang 'Nak Beli' yang diperkenalkan turut menjadi faktor kepada peningkatan pendapatan syarikat berkenaan," jelas CGS-CIMB Research.

Untuk suku kedua 2020, keuntungan bersih MyEG meningkat 7% kepada RM63.1 juta berbanding suku sebelumnya iaitu RM58.8 juta.

Bagi platform 'Nak Beli', MyEG telah melancarkan  skema langganan yang membolehkan pelanggan menikmati penjimatan besar untuk pembelian produk segar seperti daging, sayur, buah dan lain-lain lagi yang diperoleh secara terus daripada pengeluar tempatan.

Platform e-dagang tersebut berjaya menyumbang sebanyak RM2 juta hingga RM3 juta sebulan sejak Julai.

Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, MyEG turut mendapat permintaan yang baik dalam perkhidmatan pemeriksaan kesihatan berkaitan COVID-19 susulan kerjasamanya dengan Jabatan Tenaga Kerja untuk memantau tahap kesihatan pekerja asing.

Hingga kini, kira-kira 100,000 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan dengan sasaran keseluruhan untuk tahun 2020 ialah 500,000 ujian saringan.

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut berpendapat, keputusan kerajaan yang membenarkan majikan mengambil pekerja asing yang kehilangan pekerjaan dan masih menetap di negara ini sebagai satu keputusan yang positif kepada MyEG.

"Susulan itu, kami turut menjangkakan MyEG akan memproses kira-kira 3,000 hingga 4,000 rekrut baharu setiap bulan," kata CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com