3 faktor penurunan pendapatan 1H20 Taliworks | DagangNews Skip to main content

3 faktor penurunan pendapatan 1H20 Taliworks

Taliworks Corporation Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Penurunan pendapatan syarikat Taliworks Corporation Bhd. (Taliworks) untuk separuh tahun pertama 2020 dipengaruhi tiga faktor utama.

CGS-CIMB Research menyatakan, penurunan tersebut disebabkan oleh jumlah lalu lintas di lebuh raya yang berkurangan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku kedua 2020.

"Selain itu, prestasi tersebut juga disusuli oleh pembekuan kerja-kerja melibatkan aktiviti pembinaan.

"Permintaan bekalan air yang berkurangan bagi operasi Langkawi ekoran kekurangan aktiviti pelancongan turut menjadi penyumbang," jelas CGS-CIMB Research.

Taliworks mencatatkan penurunan pendapatan -9.9% pada separuh tahun pertama 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan pembinaan pada separuh tahun pertama 2020 menurun 62% berbanding tahun sebelumnya ekoran pembekuan permintaan pada suku kedua 2020 sepanjang PKP. 

Bagi lebuh raya, jumlah trafik separuh tahun pertama untuk Grand Saga Highway menurun 29% berbanding tahun sebelumnya kepada 105,000 kenderaan sehari (VPD).

Namun, CGS-CIMB Research menjangkakan jumlah lalu lintas akan pulih secara beransur-ansur susulan pengoperasian semula industri semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada suku kedua 2020.

Manakala, jumlah pendapatan bagi suku kedua 2020 turut menurun sebanyak -15% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, untung bersih syarikat tersebut pada separuh pertama 2020 meningkat 50% berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan tersebut merangkumi 50% daripada jangkaan CGS-CIMB Research dan 53% daripada ramalan konsensus. - DagangNews.com