3 industri mohon benarkan rentas daerah, negeri | DagangNews Skip to main content

3 industri mohon benarkan rentas daerah, negeri

3 industri mohon benarkan rentas daerah, negeri

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pemegang taruh dalam tiga industri berbeza iaitu industri penerbangan, industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan industri acara perniagaan memohon agar kerajaan membenarkan semula  perjalanan antara daerah atau negeri.

 

Dalam pada itu, industri berkenaan turut meminta agar pengunjung yang mengemukakan bukti telah divaksin untuk tidak dikuarantin.

 

Permohonan yang dibuat dalam pertemuan dan sesi libat urus bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), semalam.

 

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MOTAC dalam menangani isu yang melibatkan penggiat industri dalam sektor tersebut yang terkesan dalam persekitaran yang mencabar.

 

Datuk Seri Nancy Shukri
Datuk Seri Nancy Shukri

 

Libat urus tersebut penting bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan penggiat industri pelancongan.

 

Hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Dr. Anthony Francis Fernandes; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad , Kapten Izham Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri.

 

Dalam pertemuan tersebut, Anthony Francis Fernandes mengemukakan lima isu dan cabaran yang dihadapi industri penerbangan termasuk cadangan untuk mengkaji semula syarat perjalanan travel bubbles agar diperluas kepada urusan penting dan perniagaan.

 

Nancy berkata, pelaksanaan tersebut bukan sahaja tertakluk kepada persetujuan dua hala antara negara luar yang terlibat, malah turut melibatkan persetujuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Mengulas berkaitan lanjutan insentif 'one-off' di bawah Program Domestic Travel Bubble yang dicadangkan Kapten Izham, Nancy memberitahu, MOTAC sedang memohon lanjutan pelaksanaan program tersebut hingga Disember 2021.

 

"MOTAC juga mencadangkan kepada kementerian berkaitan agar kerjasama dengan syarikat penerbangan diteruskan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2021 sebagai kesinambungan kepada PRE 1.0.

 

"Tourism Malaysia akan meneruskan pelaksanaan aktiviti promosi dan pemasaran yang terlibat di bawah Joint International Tourism Development Program (JITDP) seperti kelulusan yang diperolah daripada Unit Perancang Ekonomo," jelas beliau.

 

Pertemuan tersebut turut melibatkan Malaysian Association of Convention & Exhibition Organisers & Suppliers (MACEOS) yang diwakili oleh Presidennya, Francis Teo dan bekas Presiden, Datuk Vincent Lim.

 

MACEOS turut mencadangkan laluan khas bagi business travelles dengan memudahkan pergerakan semasa ketibaan seperti penyediaan stesen pemeriksaan ujian COVID-19 serta mengurangkan tempoh kuarantin.

 

Menjawab isu tersebut, Nancy berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MAB dan Jabatan Imigresen Malaysia seperti yang telah dibincangkan bersama Business Event Council Malaysia (BESM) dan MACOES awal bulan lalu. - DagangNews.com