Untung bersih Eco World Development pada 9MFY24 meningkat 18.3% kepada RM220.1 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Eco World Development pada 9MFY24 meningkat 18.3% kepada RM220.1 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Untung bersih Eco World Development Group bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Julai 2024 (9MFY24) meningkat 18.3% kepada RM220.1 juta berbanding RM186 juta pada suku sama tahun lalu didorong prestasi lebih baik daripada anak syarikat kumpulan itu. 

 

Hasil kumpulan juga melonjak kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.38 bilion pada 9MFY23. 

 

Kedudukan kewangan kumpulan terus kukuh, dengan RM657.6 juta tunai dijana daripada aktiviti operasi dalam 9MFY24, mengatasi tunai setahun penuh yang dijana sebanyak RM572.2 juta pada FY23.

 

Baki tunai kumpulan berjumlah RM1.55 bilion pada 31 Julai 2024, yang merupakan paras tertinggi sepanjang masa untuk EcoWorld Malaysia, membolehkan pengurangan selanjutnya nisbah penggearan bersih kumpulan kepada 0.21x.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, EcoWorld Malaysia melepasi sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM3.5 bilion jualan dalam 10 bulan FY24.

 

Katanya, daripada perspektif serantau, Iskandar Malaysia merupakan penyumbang terbesar, menyumbang 63% daripada jumlah jualan kumpulan, diikuti oleh 27% dari Lembah Klang dan 10% dari Pulau Pinang.

 

"Segmen perindustrian kumpulan terus memacu pertumbuhan, dengan jualan RM1.05 bilion dicapai pada 31 Ogos 2024, melebihi rekod setahun penuh RM1.04 bilion yang dicapai pada FY23.

 

"Menyedari potensi besar untuk pertumbuhan dalam pasaran ini, kami melancarkan tonggak hasil kelima kami, Quantum pada 1 Ogos 2024 untuk memberi tumpuan kepada industri dan penyedia perkhidmatan dalam ruang digital dan teknologi tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, Quantum Edge di Kulai, Iskandar Malaysia mencatatkan jualan RM626 juta sehingga 31 Ogos 2024.

 

Katanya, berikutan penjualan pertama tanah perindustrian seluas 49.8 hektar kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan harga RM402.3 juta (RM75 setiap kaki persegi), kumpulan menjual 23.1 hektar lagi kepada pembekal pusat data terkemuka Asia, Princeton Digital

 

"Jualan kedua ini telah dimeterai pada 16 Ogos 2024 dengan pertimbangan tunai RM223.8 juta (RM90 setiap kaki persegi)," katanya. - DagangNews.com