Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Selaras dengan keputusan kerajaan memperkenalkan gelembung perjalanan domestik zon hijau serta kebenaran rentas daerah dan negeri baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek untuk kembali merancakkan pelancongan dalam negara.
Menterinya, Nancy Shukri menggariskan tiga inisiatif jangka pendek bagi merialisasikan impian merancakkan pelancongan domestik.
Membina keyakinan dalam kalangan rakyat bahawa adalah selamat untuk melancong di dalam Malaysia
- MOTAC sentiasa bekerja rapat dengan penggiat industri pelancongan dalam berbincang mengenai SOP-SOP yang perlu kita amalkan pada waktu ini dan kepentingan untuk memastikan pematuhannya.
- Sebab itulah kita yakin bahawa penggiat industri pelancongan kita telahpun bersedia dalam aspek ini dari awal dan terus boleh bergerak sepenuhnya sebaik sahaja aktiviti pelancongan dibenarkan.
- Apabila rakyat melihat semua langkah berjaga-jaga dilaksanakan, mereka akan berasa selamat untuk melancong.
Galakan untuk rakyat kita melancong
- Kita tawarkan kepada rakyat insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, cashback dalam bentuk e-wallet dan diskaun untuk tempahan pakej pelancongan, penginapan dan pengangkutan.
- Dalam erti kata lainnya, Kerajaan memberikan bantuan kewangan atau membayar sebahagian atau dengan izin, certain portion dalam perbelanjaan untuk rakyat kita melancong dalam negara.
- Ini sekaligus akan membantu industri perhotelan dan lain-lain yang berada dalam rantaian industri pelancongan seperti pengangkutan dan F&B.
MOTAC teruskan kerjasama dengan penggiat-penggiat industri dan semua kerajaan negeri dalam membangun dan menawarkan pakej-pakej pelancongan baru yang menarik melalui platform digital.
- Kita perkenal dan promosikan destinasi pelancongan di luar bandar atau hidden gems, kerana pelancong kini lebih cenderung memilih destinasi yang selamat, kurang orang dan udara segar.
Perkara tersebut dinyatakan sebagai jawapan kepada Wan Hassan Mohd. Ramli (Pas-Dungun) di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Hassan meminta beliau menyatakan strategi jangka pendek MOTAC bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula sepenuhnya dalam fasa ini susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, siri Jelajah Semarakkan Pelancongan Domestik akan diteruskan dengan melawati seluruh negara untuk mempromosi, memperkenalkan produk baharu pelancongan serta memberi nafas baharu kepada produk sedia ada.
Dalam masa yang sama, promosi melalui slot pengiklanan media fizikal mahupun digital turut dijalankan.
"MOTAC akan meneruskan kesinambungan fokus-fokus jangka pendek ini, antaranya termasuklah memperuntukkan sebahagian besar peruntukan di bawah Belanjawan 2021 menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan seperti yang telah saya jelaskan semasa sesi penggulungan Bajet 2021 MOTAC di Dewan ini tempoh hari.
"Penekanan kepada agenda pembangunan sosial dan ekonomi rakyat diberikan menerusi pemerkasaan industri kraf negara dengan tema ‘Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat’ bermula tahun 2021.
"Semua inisiatif ini diyakini dapat merangsang dan menyuntik perbelanjaan domestik secara konsisten dan seterusnya mewujudkan kesan gandaan ekonomi khususnya yang berantaian dengan sektor pelancongan, seni dan budaya," jelas beliau lagi. - DagangNews.com