3 pelajar UMS terpilih untuk sertai Program Erasmus+ di Cankiri Karatekin University, Turki | DagangNews Skip to main content

3 pelajar UMS terpilih untuk sertai Program Erasmus+ di Cankiri Karatekin University, Turki

Irnah (kiri), Yoggenderan (tengah) dan Dayangku Sharina (kanan) merupakan pelajar yang terpilih untuk menyertai Program Erasmus+ di Turki.

KOTA KINABALU 11 Mac - Seramai tiga pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpilih menyertai Program Erasmus+ di Cankiri Karatekin University, Turki bermula pada 7 Mac hingga 8 Julai 2022. 

 

Mereka yang terpilih ialah adalah Irnah Narui daripada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Yoggenderan Kalaichelvan (Fakulti Sains dan Sumber Alam) dan Dayangku Sharina Natasha Mohd Shafree (Fakulti Sains dan Sumber Alam) yang masing-masing berada di tahun kedua dan ketiga pengajian akan menjalani program mobiliti tersebut selama satu semester.

 

Timbalan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din berkata, pihak UMS dipelawa oleh Cankiri Karatekin University menandatangani perjanjian bagi mengadakan Program Erasmus+ selepas terlibat dalam persidangan Eurasian Higher Education Institutions (EURIE) yang diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac 2019 di Istanbul.

 

“Pelajar yang mengikuti program itu bukan sahaja menerima biasiswa dan turut diberikan elaun sara hidup serta elaun pengangkutan.

 

“Selain memberi peluang kepada pelajar untuk belajar dan tinggal di negara asing, matlamat program ini juga adalah untuk meningkatkan pengalaman antarabangsa dan menerapkan silang budaya atau cross-cultural dan persediaan pelajar untuk mendepani cabaran global pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dr. Wardah berkata, program Erasmus+ juga akan diteruskan dengan aktiviti staf mobiliti pada masa akan datang melibatkan staf akademik dan pentadbiran sebagai salah satu inisiatif untuk mempromosikan UMS di peringkat global.

 

Cankiri Karatekin University merupakan sebuah universiti yang ditubuhkan pada 28 Mei 2007 dan terletak di Wilayah Cankiri. 

 

UMS turut dipelawa pihak Manis Celal Bayar University, Turki untuk menjalankan program yang sama. - DagangNews.com