3 syarikat berdepan hukuman denda akibat penipuan bidaan tender Perbadanan Putrajaya bernilai RM45 juta - MyCC | DagangNews Skip to main content

3 syarikat berdepan hukuman denda akibat penipuan bidaan tender Perbadanan Putrajaya bernilai RM45 juta - MyCC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap tiga syarikat yang didakwa menipu bidaan dalam enam tender yang dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPJ) bagi kerja-kerja penyelenggaraan, bernilai kira-kira RM45 juta.

 

Tender berkenaan yang dikeluarkan oleh PPJ, sebuah agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan, termasuk dua daripada 2018, tiga daripada 2019, dan satu daripada 2021.

 

Syarikat terbabit ialah Abadi Malaysia Sdn Bhd, Kota Lanskap Sdn Bhd dan Usia Maintenance Sdn Bhd.

 

"Siasatan mendapati perusahaan ini telah melakukan penipuan bidaan melalui perjanjian dan amalan bersepadu dengan menetapkan harga bidaan mereka, bertukar maklumat tawaran dan menyelaraskan penyediaan dan penyerahan bidaan mereka,” kata MyCC dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MyCC berkata, keputusan yang dicadangkan itu adalah berdasarkan penemuan awal dan tidak boleh dianggap syarikat-syarikat ini telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

 

Syarikat-syarikat diberi masa 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis dan juga diberi peluang untuk membentangkan hujahan lisan kepada suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan.

 

Sebagai badan separa kehakiman, MyCC akan mengeluarkan keputusan muktamadnya selepas mempertimbangkan representasi syarikat dan bukti yang dikumpul semasa siasatan.

 

Minggu lalu, MyCC mendedahkan tujuh syarikat yang terlibat dalam tender penipuan bidaan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan didenda sejumlah RM446,092. 

 

Syarikat-syarikat itu dikenakan dengan berhubung empat tender bernilai RM20 juta yang telah dikeluarkan pada 2017 dan 2020.

 

Suruhanjaya itu berkata, ketika ini mereka sedang menyiasat 13 kartel penipuan bidaan melibatkan 561 perusahaan dalam tender bernilai RM2.37 bilion dan menilai aduan melibatkan 463 perusahaan dalam tender bernilai RM9.27 bilion.- DagangNews.com