Anugerah Industri Sawit Malaysia, pengiktirafan kecemerlangan industri pada 23 Sept ini | DagangNews Skip to main content

Anugerah Industri Sawit Malaysia, pengiktirafan kecemerlangan industri pada 23 Sept ini

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bakal memberi pengiktirafan kepada penggiat industri sawit yang mencapai kecemerlangan prestasi dalam industri sawit.

 

Penggiat industri akan diraikan pada majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2023/2024 anjuran MPOB yang akan dihadiri oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada pada 23 September 2024 di Putrajaya.

 

Pemenang dipilih meliputi pelbagai sektor dalam rantaian industri yang dinilai berdasarkan kecemerlangan dari segi peningkatan produktiviti, kualiti produk, dan amalan terbaik yang menyumbang kepada kemajuan industri sawit.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Anugerah Industri Sawit Malaysia bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penggiat industri yang memberi sumbangan signifikan kepada usaha memperkasa industri sawit dan kesejahteraan ekonomi negara.

 

“AISM bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri dalam peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran minyak sawit, malahan juga meliputi pengeluaran mampan, aspek tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar dalam rantaian industri sawit,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir
               Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 


Kementerian Perladangan dan Komoditi telah melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) yang menggariskan komitmen Kerajaan dalam memastikan kualiti, kemampanan, serta daya saing yang tinggi bagi industri agri-komoditi negara yang merupakan salah satu penjana utama pertumbuhan ekonomi dan KDNK negara. - DagangNews.com