KUALA LUMPUR 23 Dis - Malaysia menduduki tangga teratas dalam kalangan rakan serantau di Asia Tenggara dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank untuk tahun kedua berturut-turut dengan penggunaan tahunan sebanyak 429 megawatts.
Dalam Laporan Penyelidikan Pusat Data 2024, firma penyelidikan global itu berkata, pertumbuhan didorong pelaburan strategik daripada gergasi teknologi seperti Microsoft, Amazon Web Services (AWS), Google dan Oracle, berjumlah AS$23.3 bilion (RM104.48 bilion).
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, usaha strategik Malaysia dalam infrastruktur digital bukan sekadar rangka tindakan untuk rantau ini tetapi seruan untuk pemain global merebut peluang itu.
"Komitmen negara terhadap inovasi dan kemampanan teknologi menjadikannya destinasi pilihan untuk pelaburan pusat data dan model untuk daya tahan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, Malaysia meraikan kejayaan tahun ini dalam pelaburan pusat data dengan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital terkemuka di rantau ini.
Dengan RM141.72 bilion dalam pelaburan digital yang diperolehi dalam 10 bulan pertama tahun ini — tiga kali ganda jumlah keseluruhan 2023 — Malaysia sedang mentakrifkan semula peranannya dalam landskap teknologi global, didorong oleh inovasi dan pertumbuhan strategik dalam ekonomi digital.
Kenyataan itu berkata, kadar pengambilan tahunan yang mengagumkan sebanyak 429MW, ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5% untuk 2025, infrastruktur yang teguh, pelaburan strategik dan dasar yang berpandangan ke hadapan terus membezakannya.
Penguasaan itu mengukukan kelebihan daya saing Malaysia dan juga menandakan kesediaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dalam ekonomi digital.
“Langkah proaktif kerajaan Malaysia, termasuk Laluan Lorong Hijau dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pusat data yang berdaya tahan.
“Pengurangan ketara dalam garis masa untuk bekalan elektrik dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE), inisiatif itu meningkatkan kesediaan infrastruktur Malaysia dan menekankan komitmennya terhadap kemampanan dan kemajuan teknologi,” kata kenyataan itu.
Katanya, kepimpinan Malaysia dalam RE dan pusat data mampan telah menetapkan duluan untuk pertumbuhan teknologi yang bertanggungjawab apabila dunia bersandar kepada inovasi hijau, dengan menyatakan Johor muncul sebagai pemain utama, mengatasi Lembah Klang dalam kapasiti teknologi maklumat dan memacu urus niaga bagi pembangunan pusat data berskala besar.
“Dengan mencapai keseimbangan antara rangka kerja kawal selia, kemajuan teknologi dan pengambilan tanah strategik, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui pertumbuhan pusat data yang mampan di seluruh rantau ini," katanya. - DagangNews.com