AEON raikan rakan niaga pada majlis makan malam ulang tahun ke-40 | DagangNews Skip to main content

AEON raikan rakan niaga pada majlis makan malam ulang tahun ke-40

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Sept - AEON Co. (M) Bhd. mengadakan majlis “Makan Malam Penghargaan Ulang Tahun ke-40 AEON” untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-40 bersama hampir 400 orang rakan niaga, pembekal dan pemegang
taruhnya di sebuah hotel di ibu negara pada 14 September lalu.

 

Majlis tersebut merupakan satu acara yang istimewa buat AEON apabila ia turut dihadiri oleh Akio Yoshida, Presiden AEON Co., Ltd. dari Jepun, Takahashi Katsuhiko, Duta Besar Jepun ke Malaysia, dan Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON.

 

Acara penuh meriah tersebut juga diserikan dengan kehadiran Senator Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

 

AEON memulakan operasinya di Malaysia pada September 1984 di bawah nama JUSCO, yang merupakan singkatan bagi Japan United Stores Company. Kehadiran JUSCO adalah hasil inisiatif Kerajaan Malaysia untuk memodenkan industri peruncitan negara dengan kepakaran pengurusan peruncitan termaju dari Asia.

 

Sejak itu, JUSCO berkembang pesat dan pada tahun 2012, ia dijenamakan semula sebagai AEON, yang bermaksud “berkekalan” dalam Bahasa Latin. Kini, AEON beroperasi dengan 28 AEON Mall, 35 AEON Store, 6 MaxValu Prime, 62 AEON Wellness, dan 46 DAISO di seluruh negara.

 

AEON mempunyai lebih daripada 11,000 orang pekerja di seluruh negara, menjadikan ia salah sebuah syarikat
dengan jumlah pekerja paling ramai di luar Jepun.

 

 

Senator Fuziah Salleh
Senator Fuziah Salleh

 

 

Di dalam ucapannya, Senator Fuziah merakamkan penghargaan kepada AEON atas pencapaian selama 40 tahun di Malaysia. Beliau menzahirkan kegembiraan kerana AEON sentiasa bersedia menyokong aspirasi Kerajaan untuk memastikan pengguna dapat menikmati produk berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif. Ini adalah satu amalan yang bernilai bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.

 

Sementara itu Datuk Iskandar Sarudin berkata, “Perjalanan empat dekad ini tidak mungkin dapat dinikmati tanpa sumbangan daripada keseluruhan ekosistem yang terlibat. Setiap kejayaan dicapai sentiasa bersandar kepada sokongan daripada Kerajaan Malaysia, komitmen tidak berbelah bagi daripada rakan niaga dan pembekal, kesetiaan pelanggan yang menjadi nadi operasi kami, serta dedikasi dan kerja keras warga AEON yang sentiasa memastikan syarikat ini terus berjaya.”

 

Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, AEON turut menyampaikan AEON Outstanding Partnership Award kepada rakan niaga dan pembekalnya yang menunjukkan potensi, inovasi, pencapaian dan prestasi yang baik selain menyokong usaha kelestarian AEON.

 

Anugerah tersebut terdiri daripada tiga kategori iaitu Pusat Membeli Belah (Mall), Pembekal (Supplier) dan Korporat (Corporate). Bagi Kategori Mall, Poh Kong Jewellers Sdn Bhd telah menerima anugerah AEON Strategic Partner Award (Mall), manakala syarikat yang terkenal dengan jenama Zus Coffee, iaitu Zuspresso (M) Sdn Bhd. diiktiraf sebagai AEON Emerging Partner Award (Mall).

 

Syarikat pembekal cermin mata terkemuka di Malaysia, Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd pula dianugerahkan AEON Most Celebrated Partner Award (Mall).

 

 

hikayat

 

 

Bagi Kategori Supplier, AEON mengiktiraf rakan niaga untuk kategori produknya. AEON Supplier Excellence Award (Foodline) dianugerahkan kepada Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd, manakala AEON Supplier Excellence Award (Softline) diberikan kepada Unitrade Venture Sdn Bhd, dan AEON Supplier Excellence Award (Hardline) kepada Goldtex Exim Sdn Bhd.

 

Bagi kategori AEON Supplier Excellence Award (Health and Beauty Care), ia dianugerahkan kepada Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd manakala Syarikat Dasher Distribution Sdn Bhd pula menerima AEON Emerging Partner Award (Supplier).

 

Bagi Kategori Corporate, GSPARX Sdn. Bhd., yang bertanggungjawab memasang panel solar di semua AEON Mall, telah dianugerahkan AEON Sustainability Partner Award.

 

Kesemua anugerah telah disampaikan oleh Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian yang memukau daripada artis tersohor negara, Dayang Nurfaizah.

 

“AEON 40th Anniversary Thank You Dinner” adalah sebahagian daripada siri aktiviti yang diatur sepanjang tahun 2024 bagi meraikan ulang tahun AEON yang ke-40. Ini termasuk kempen jualan dan promosi istimewa, jerayawara “Senyum Tour”, program penghargaan pelanggan, dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

 

Sempena ulang tahun yang ke 40, AEON akan terus bersama pelanggannya melalui pelbagai aktiviti yang akan mencipta senyuman dan mengikat hati. - DagangNews.com