BNM, Kemboja lancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

BNM, Kemboja lancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (ketiga dari kiri) dan Gabenor Bank Negara Kemboja, Dr. Chea Serey (kedua dari kiri) bersama rakan industri semasa pelancaran jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dan Kemboja.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Kemboja dengan Malaysia membolehkan pelanggan kedua-dua negara itu membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan secara masa nyata. 

 

Inisiatif jalinan pembayaran QR ini akan membolehkan lebih lima juta peniaga di Kemboja dan Malaysia, terutamanya peniaga kecil untuk mengakses jumlah pelanggan yang lebih luas daripada kedua-dua negara. 

 

Menurut BNM, inisiatif tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa dan majlis hari ini menandakan selesainya fasa pertama. 

 

"Di bawah fasa pertama, pengguna dari Kemboja boleh membuat pembayaran runcit secara segera di Malaysia dengan mengimbas kod QR DuitNow yang dipaparkan oleh peniaga menggunakan aplikasi mudah alih mereka iaitu aplikasi Bakong dan Maybank M2U KH.

 

“Dalam fasa jalinan yang seterusnya, pengguna Malaysia yang mengunjungi Kemboja juga akan boleh membayar pembelian mereka secara lancar kepada peniaga Kemboja dengan mengimbas KhmerQR (KHQR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BNM juga menekankan kejayaan pelancaran itu merupakan hasil kerjasama erat Bersama pelbagai pihak berkepentingan dari kedua-dua negara, termasuk NBC, Payments Network Malaysia Sdn Bhd, Maybank serta institusi kewangan peserta dari kedua-dua negara.

 

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kerjasama itu merupakan langkah ke arah merealisasikan visi ekosistem pembayaran runcit yang saling berhubung kait dan lancar antara Kemboja dengan Malaysia. 

 

“Dengan menghubungkan kod QR kebangsaan, transaksi rentas sempadan antara kedua-dua negara akan menjadi lebih pantas dan cekap, lantas menawarkan manfaat yang besar kepada jutaan individu dan perniagaan di kedua-dua negara. 

 

“Inisiatif ini bukan sahaja akan menyokong agenda ekonomi digital yang lebih meluas, tetapi juga merangsang kegiatan ekonomi di seluruh rantau dengan memanfaatkan kemudahan dan kecekapan pembayaran QR," ujarnya.

 

Gabenor NBM, Dr. Chea Serey turut berkata, inisiatif pembayaran rentas sempadan itu akan memainkan peranan penting untuk merangsang aktiviti perdagangan dan memajukan rangkuman kewangan dalam kedua-dua negara. 

 

“Kerjasama ini menandakan langkah penting ke arah merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap, selamat dan saling berhubung kait,” ulas beliau. - DagangNews.com