300 pekerja E&P Shell Malaysia didakwa berdepan dibuang kerja | DagangNews Skip to main content

300 pekerja E&P Shell Malaysia didakwa berdepan dibuang kerja

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Syarikat pemilik utama jenama Shell, Royal Dutch Shell didakwa berhasrat untuk membuang antara 250 hingga 300 pekerja di bahagian operasi huluannya di Malaysia. 

 

Laporan yang dikeluarkan oleh portal minyak dan gas, Upstream Online, mendedahkan secara keseluruhannya, sekitar 2% tenaga kerja Shell Malaysia akan dibuang secara bertahap selama dua tahun.

 

Jelas portal itu, pembuangan pekerja berkenaan dijangka berlaku selepas wujudnya laporan ratusan pekerja akan dipindahkan dari syarikat gergasi itu ke cabang operasi huluannya di United Kingdom (UK).

 

“Kami sedar ini merupakan berita sukar buat staf yang terjejas dan bukannya keputusan yang mudah. 

 

“Bagaimanapun, perubahan penting bagi memastikan Shell di Malaysia kekal berdaya saing, bertahan ketika waktu-waktu mencabar ini dan berada dalam kedudukan kukuh untuk merebut peluang dalam perubahan tenaga,” kata Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo. 

 

Iain Lo
Iain Lo

 

Operasi huluan melibatkan segmen penerokaan dan pengeluaran (E&P) minyak. 

 

Berita pembuangan pekerja itu mengejutkan walaupun Shell Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan dalam beberapa segmen perniagaannya di negara ini. 

 

Syarikat itu dalam masa sama mendakwa akan komited untuk berurusan dengan staf secara proaktif sepanjang proses itu dan memastikan tindakan yang adil dan sesuai dengan nilai-nilai mereka serta undang-undang dan peraturan pekerjaan Malaysia.

 

Tindakan itu juga didakwa penting bagi perniagaan Shell Malaysia untuk mengurangkan kerumitan, mendorong hubungan yang lebih kuat dan menyeluruh untuk memudahkan aset dan usaha mereka ditumpukan ke arah pelaksanaan.

 

Shell Malaysia mengesahkan bahawa, kebanyakan kakitangan operasi huluan kumpulan itu akan berpindah ke pejabat utama di Miri, Sarawak. 

 

Ini dikatakan sejajar dengan hasratnya untuk meningkatkan kecekapan dan kerjasama syarikat. 

 

Pada Oktober tahun lalu, Shell Malaysia dilaporkan bakal memindahkan staf operasi huluan mereka ke Miri sementara sebilangan staf yang lebih kecil di Kota Kinabalu, Sabah akan mengendalikan operasi hiliran.

 

Susulan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Shell Malaysia untuk mempertimbang semula keputusan itu kerana tindakan berkenaan akan memberi impak ke atas ekonomi Sabah.

 

Bung Moktar dilaporkan memberi saranan kepada Shell Malaysia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyeimbangkan ekonomi Sabah daripada mengaut keuntungan daripada negeri itu. 

 

Shell yang sudah lama bertapak di Malaysia selama 130 tahun berhasrat untuk terus merebut peluang pertumbuhan di negara ini. - DagangNews.com