Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Julai - Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencatatkan rekod baharu jumlah pemberian vaksin harian sebanyak 313,761 dos semalam.
Jumlah berkenaan sekali gus melepasi sasaran jumlah harian yang diletakkan oleh kerajaan sebelum ini.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah harian tertinggi itu meliputi 196,603 pemberian dos pertama dan 117,158 pemberian dos kedua.
Peningkatan jumlah pemberian dos harian berkenaan menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di Malaysia mencecah 9.3 juta bagi tempoh sama.
Jumlah kumulatif tersebut terdiri daripada 6.5 juta pemberian dos pertama dan 2.7 juta bagi pemberian dos kedua.
Sehubungan itu, peratusan populasi rakyat Malaysia yang telah disuntik vaksin COVID-19 bagi dos pertama meningkat kepada 20.2%.
Populasi yang berjaya melengkapkan dua dos vaksin pula meningkat kepada 8.4% hingga 5 Julai 2021.
Bagi data vaksinasi mengikut pecahan negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan peratusan populasi divaksinasi kepada 67.2%.
Peratusan tersebut diikuti Sarawak (43.6%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (41.4%) dan Labuan (37.4%).
Sementara itu, Perlis turut mencatatkan peratusan populasi divaksin melebihi kadar 20% iaitu sebanyak 27.5%.
Peratusan populasi yang sudah divaksin di lain-lain negeri masih di bawah 20%. - DagangNews.com