3M melabur AS$1 bilion sasar sifar karbon dalam operasi pembuatan | DagangNews Skip to main content

3M melabur AS$1 bilion sasar sifar karbon dalam operasi pembuatan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Mac – Syarikat teknologi dari Amerika Syarikat (AS), 3M bakal melaburkan kira-kira AS$1 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang bagi meningkatkan sasaran alam sekitar yang baharu iaitu mencapai keneutralan karbon menjelang tahun 2050.

 

Ini termasuk usaha syarikat itu untuk mengurangkan penggunaan air sehingga 25% di semua kemudahannya, dan mengembalikan air berkualiti tinggi kepada alam sekitar selepas digunakan dalam operasi pembuatan.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 3M, Mike Roman berkata, sebagai usaha mengembangkan 3M, pihaknya berhasrat untuk menerajui pengawasan alam sekitar, kesaksamaan dan keadilan sosial, selain tadbir urus korporat.

 

Mike Roman
Mike Roman

 

“Kami mengambil tindakan ini untuk melenturkan lengkuk pelepasan karbon dan penggunaan air, dan menambah baik kualiti air. Pelaburan kami akan menjadikan kami lebih efektif dan cekap, dan memacu pertumbuhan.

 

“Pengumuman hari ini sekali lagi menunjukkan bagaimana 3M mengaplikasi sains dan meningkatkan kehidupan untuk membantu dalam membentuk dunia melalui udara yang lebih bersih, kualiti air yang lebih baik, dan kurang sisa buangan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

3M melihat pelaburan jangka panjang syarikat itu akan membantu memajukan program pengurangan sisa buangan dan kawalan pencemaran, mengurangkan penggunaan air, serta memperoleh dan menggunakan teknologi terbaik sedia ada.

 

Pelaburan berkenaan akan mempercepatkan lagi usaha penambahbaikan berterusan 3M dalam operasi pembuatannya dan kemampuan untuk mencapai sasaran alam sekitar, jelas kenyataan itu.

 

Dengan mengaplikasi kepakaran sains dan teknologi, 3M menjangkakan dapat mengurangkan pelepasan karbon dan menyasarkan pengurangan sebanyak 50% menjelang 2030, dan seterusnya pengurangan 80% menjelang 2040, dan 100% peneutralan karbon dalam operasinya menjelang 2050. 

 

Mulai tahun ini, sebagai sebahagian daripada kajian semula ke atas kemudahan pembuatannya, 3M juga berusaha memastikan semua operasinya menjadi yang terbaik dalam kumpulan syarikat, bagi meminimumkan pelepasan yang dihasilkan ketika operasi pembuatan.

 

“Kami membawakan inovasi untuk menghadapi perubahan iklim yang sedang kita alami, agar kami dapat melenturkan lengkuk pelepasan karbon dan penggunaan air dengan lebih cepat.

 

"Sejak tahun 2000, di samping terus mengembangkan syarikat, kami turut mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan, ibu pejabat global kami sepenuhnya dikuasakan oleh elektrik boleh diperbaharui, dan kami juga meningkatkan sasaran untuk mengurangkan sisa buangan di peringkat global dengan memberi tumpuan kepada puncanya – bekerjasama untuk menghapuskan penggunaan plastik sekali pakai dan menukar lebih banyak kemudahan kepada status sifar kambus tanah," ulasnya lanjut.

 

Dari aspek penggunaan dan kualiti air, 3M mengambil langkah segera untuk memacu pengurangan penggunaan air dalam bulan-bulan akan datang dan untuk jangka panjang: pengurangan sebanyak 10% dalam penggunaan air menjelang 2022, 20% menjelang 2025, dan 25% menjelang 2030.

 

3M menjangkakan untuk memasang teknologi penulenan air yang terkini menjelang akhir 2023 dan akan beroperasi sepenuhnya pada 2024 di semua lokasi penggunaan airnya yang terbesar.

 

Ini akan membolehkan syarikat mengembalikan air berkualiti lebih tinggi kepada alam sekitar selepas digunakan dalam operasi pembuatannya, jelas 3M.

 

Melalui usaha berkenaan, 3M menyasarkan pengurangan penggunaan air keseluruhannya sebanyak 2.5 bilion gelen (kira-kira 9.5 bilion liter) setahun.

 

“Kami mengkaji semula kemudahan pembuatan kami secara proaktif, loji demi loji untuk membuat pelaburan dan penambahbaikan lebih daripada yang diperlukan, dan pada masa sama meningkatkan lagi operasi kami.

 

“Kami menggunakan teknologi 3M secara meluas, yang membolehkan syarikat melakukan lebih lagi untuk mengurangkan, mengembalikan dan menggunakan semula air dalam proses pembuatan 3M.

 

"Kami menawarkan pengalaman dan kepakaran kepada komuniti agar syarikat dapat membantu pihak lain mencapai kualiti air yang lebih baik," kata Roman lagi. – DagangNews.com