3Q20: Pekerjaan sektor swasta berkurangan 181,000 | DagangNews Skip to main content

3Q20: Pekerjaan sektor swasta berkurangan 181,000

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Jumlah jawatan yang ditawarkan di sektor swasta menurun sebanyak 181,000 kepada 8.471 juta pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding 8.652 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

Kadar jawatan diisi adalah 97.9% merangkumi 8.292 juta jawatan dengan kadar kekosongan turun 0.2% kepada 2.1% berbanding 3Q19.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penyumbang terbesar jawatan dan jawatan diisi adalah dalam sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan masing-masing 51.7% dan 52.4%. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Sementara itu, jawatan diisi dalam sektor pembuatan merangkumi 26.0%, manakala jawatan merekodkan 26.6%. Kedua-dua sektor ini merangkumi 78.3% jawatan dan 78.4% jawatan diisi.

“Sebaliknya, kekosongan tertumpu dalam sektor pembuatan dengan sumbangan 56.0%, diikuti pertanian (16.8%) dan perkhidmatan (15.5%). 

“Manakala, kekosongan jawatan dalam sektor pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian adalah 11.5% dan 0.2% masing-masing,” katanya dalam siaran Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Ketiga 2020.

Statistik itu berdasarkan Kaji Selidik Guna Tenaga Suku Tahunan yang dilaksanakan ke atas pertubuhan formal sektor swasta meliputi aktiviti utama ekonomi iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

 

dosm

 

Statistik utama guna tenaga yang dibentangkan dalam penerbitan itu adalah jawatan, jawatan diisi, kekosongan dan kewujudan jawatan mengikut aktiviti ekonomi dan kategori kemahiran.

Pada masa yang sama, hampir separuh atau 42.9% jawatan diwujudkan dalam sektor pembuatan dengan sektor perkhidmatan berada pada kedudukan kedua dengan sumbangan 38.9%.

Bagi permintaan buruh mengikut kemahiran, bilangan jawatan menurun sebanyak 50,000 kepada 2,067,000 (3Q19: 2,117,000). 

Kadar jawatan diisi bagi kategori itu meningkat 0.5% kepada 2,026,000 berbanding 2,065,000 pada suku sama tahun lalu.

“Pada 3Q20, sejumlah 62.3% atau 5,279,000 jawatan tertumpu dalam kategori separuh mahir, meliputi 98.1% jawatan diisi (5,179,000) dan 9.1% kekosongan jawatan,” tambah Mohd. Uzir. - DagangNews.com