Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Jumlah pendapatan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) pada suku ketiga 2020 (3Q20) yang berakhir pada 30 September meningkat sebanyak 2.8% berbanding suku lalu kepada RM623 juta.
Pos Malaysia berkata, jumlah yang dicatatkan itu turut meningkat sebanyak 13.3% mengikut perbandingan tahun ke tahun.
Pertumbuhan positif itu didorong oleh peningkatan dalam segmen pos dan logistik yang berkaitan dengan surat dan perniagaan runcit.
Bagaimanapun, kerugian bersih Pos Malaysia menurun sebanyak 61.0% berbanding suku lalu, dan 74.7% berbanding tahun lalu kepada RM7.4 juta.
"Transformasi kumpulan terus mencatatkan kemajuan apabila mencatatkan jumlah keuntungan sebanyak RM0.1 juta daripada operasi pada suku ketiga tahun kewangan 2020 berikutan kerugian yang dicatatkan sepanjang lapan suku berturut-turut pada sebelumnya.
"Untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2020, kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM75.7 juta, sementara pendapatan berjumlah RM1.79 bilion," jelas Pos Malaysia dalam satu kenyataan.
Pendapatan Pos Malaysia majoritinya disumbangkan oleh perniagaan kurier sebanyak 45% dan diikuti oleh perniagaan mel sebanyak 33%.
Segmen logistik pula mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM231.2 juta hasil perniagaan pengurusan barang dan perniagaan automotif.
Manakala segmen penerbangan pula menyumbang RM125.4 juta kepada jumlah pendapatan kumpulan yang dihasilkan oleh perniagaan pengendalian kargo dan darat.
Dalam pada itu, segmen lain seperti percetakan dan sisipan, sijil digital dan Ar Rahnu pula menyumbang 85% kepada pendapatan.
Keuntungan sebelum cukai Pos Malaysia sebahagian besarnya disumbangkan oleh perniagaan Ar Rahnu dan sijil digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib berkata, Pos Malaysia akan meningkatkan tahap kecekapan dan pengurusan kos yang merupakan sebagian daripada rancangan transformasi pihaknya.
"Kami telah memasang sistem pemprosesan separa automatik baharu di lima pusat pengedaran pada suku ketiga 2020 dan setakat ini sistem tersebut telah dipasang di 31 pusat pengedaran.
"Langkah untuk mengautomasikan kemudahan pemprosesan itu adalah sebahagian besar dari rancangan transformasi kami untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan.
"Inisiatif ini digabung dengan program penghantaran crowdsourcing yang akan membolehkan pihak kami menangani lebih banyak jumlah bungkusan di masa depan selain meningkatkan ketepatan waktu penghantaran," jelas beliau. - DagangNews.com