4 cabaran utama pasaran buruh wajar ditangani | DagangNews Skip to main content

4 cabaran utama pasaran buruh wajar ditangani

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Golongan muda didapati paling terjejas kepada ketidaktentuan pasaran pekerjaan sekali gus menyumbang kepada kadar pengangguran belia. 

 

Laporan suku tahunan Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery bagi suku keempat 2020, menunjukkan 70% pencari kerja terdiri daripada mereka yang berumur antara 18 hingga 30 tahun manakala 22% pula berumur antara 31 hingga 45 tahun. 

 

"Berdasarkan kumpulan yang besar ini, ternyata golongan ini berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan diinginkan memandangkan kebanyakannya adalah pendatang baharu yang kurang pengalaman kerja. 

 

"Tambahan pula, kadar jawatan kosong yang rendah pada suku keempat 2020 akibat daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), persaingan untuk mendapatkan pekerjaan adalah tinggi," jelas laporan itu. 

 

 

laporan

 

 

Menurut laporan berkenaan, langkah-langkah bagi menangani krisis semasa yang lebih memberi fokus kepada mengekalkan pekerja dan bias terhadap pekerja berpengalaman ketika fasa pemulihan akan menguntungkan pekerja sebelumnya.

 

Situasi ini bagaimanapun tidak memihak kepada pekerja muda, lepasan universiti dan sekolah yang akan memasuki pasaran buruh yang perlahan.

 

"Memandangkan pertumbuhan pasaran pekerjaan yang lemah, golongan muda di negara ini lebih terdedah kepada pasaran pekerjaan yang tidak menentu dan meningkatkan kadar pengangguran belia," katanya. 

 

Laporan itu juga menunjukkan, di sebalik impak COVID-19 kepada ekonomi dan pasaran buruh, majikan masih mengambil pekerja bagi jawatan bukan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET).

 

Pasaran pekerjaan masih tertumpu kepada kategori bukan PMET dengan 70% bagi kategori berkenaan sedangkan jumlah graduan bagi kategori PMET semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

"Tetapi, permintaan industri tidak mencukupi untuk menampung permintaan ini, sebaliknya menawarkan pekerjaan yang berkemahiran rendah. 

 

"Hakikatnya, sukar untuk menguruskan isu berkaitan 'underemployment' ketika krisis ini, namun begitu, isu ini perlu diteliti secepat mungkin," katanya. 

 

 

Laporan suku tahunan Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery bagi suku keempat 2020
Laporan suku tahunan Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery bagi suku keempat 2020.

 

 

Berdasarkan laporan berkenaan, kadar pengangguran tahun ini diunjur sekitar 4.2 hingga 4.3% sejajar dengan momentum pemulihan ekonomi. 

 

Namun, di sebalik unjuran positif ini, beberapa perkara perlu dipertimbangkan memandangkan krisis pandemik ini memberi impak yang lebih buruk berbanding krisis ekonomi Asia pada 1998. 

 

Laporan ini mengenalpasti 4 cabaran utama dalam pasaran buruh yang memerlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan :

 

Situasi yang dihadapi pendatang baharu dalam pasaran buruh

  • Graduan dan mereka yang hilang pekerjaan akibat krisis (terutama pelancongan dan sektor berkaitan) dijangka berdepan kesukaran memandangkan pekerjaan dan kemahiran yang diwujudkan ketika fasa pemulihan adalah terhad atau mungkin tidak wujud.

 

Transformasi pasaran buruh

  • Kebanyakan pekerjaan yang hilang tidak mungkin kembali lagi. Malah, tranformasi semasa dalam pasaran buruh terkesan dengan digitalisasi dan automasi. Sesetengah kemahiran mungkin tidak diperlukan dan ini akan mewujudkan ketidakseimbangan dari segi penawaran-permintaan. 

 

Pekerjaan informal dijangka meningkat

  • Disebabkan jurang antara penawaran-permintaan semakin meningkat, kebanyakannya beralih kepada sektor pekerjaan informal. Ketika pasca krisis, soal keselamatan kewangan menjadi keutamaan bagi penganggur dan sektor informal adalah jalan paling mudah untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Kenaikan gaji yang perlahan

  • Kadar upah bagi sesetengah pekerjaan dijangka menunjukkan peningkatan yang perlahan dan mungkin cederung tidak berubah. Ia dijangka mengambil tempoh masa yang lama untuk pulih berbanding mewujudkan pekerjaan.

 

Meskipun pertumbuhan ekonomi kepada pandemik adalah kurang terjejas berbanding krisis ekonomi Asia yang menguncup sehingga -7.4% pada 1998, tetapi ia memberi kesan mendalam kepada pasaran buruh. 

 

Malaysia berupaya mengekalkan kadar pengangguran pada 3.2% ketika krisis tersebut tetapi pandemik COVID-19 menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan pendapatan dengan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5% pada 2020.

 

Ini kerana langkah PKP bagi mengekang wabak ini memberi kesan kepada ekonomi, syarikat tidak mampu membayar pekerja dan mereka yang hilang pekerjaan pula tidak mampu berbelanja seperti sebelum wabak ini tercetus. - DagangNews.com