4 indikator tentukan pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content

4 indikator tentukan pemulihan ekonomi

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Kerajaan menggariskan empat indikator yang menentukan pemulihan ekonomi ketika ini. 

 

Empat indikator berkenaan adalah sektor peruncitan, penginapan hotel, harga minyak sawit mentah (MSM) dan getah SMR 20. 

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata, kesemua petunjuk itu akan menjadi penanda aras kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5% hingga 7.5% pada tahun 2021.

 

“Sektor peruncitan mula menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur, manakala kadar penginapan hotel di seluruh negara meningkat kepada 24.3% selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan dan aktiviti rentas negeri dibenarkan.

 

“Ketiga, harga minyak sawit mentah kembali mencecah paras melebihi RM3,000 (RM3,422) setiap tan pada November lepas dan keempat, harga getah SMR 20 meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 sekilogram pada November lepas,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Teo Eng Tee berhubung indikator utama yang memacu pemulihan ekonomi negara terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Eng Tee meminta penjelasan mengenai indikator utama dalam memacu pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

“Kesan negatif pandemik COVID-19 ke atas pertumbuhan ekonomi negara sepanjang tahun ini bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun depan,” tambah Arthur.

 

Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kini berada pada peringkat akhir.

 

RMK-12 akan merangka usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang.

 

Jelasnya, strategi yang akan dilaksanakan dalam RMK-12 mengambil kira pelbagai usaha pemulihan dan pemacuan semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Selain itu, kerangka itu berfungsi untuk menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan lebih inklusif serta mapan.

 

“Kesemua strategi dan langkah yang diambil kerajaan bukan sahaja mampu memulihkan ekonomi negara malah dapat memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” ujarnya lagi. - DagangNews.com