Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Syarikat telekomunikasi negara, Maxis Berhad (Maxis) menggerakkan pelbagai inisiatif bagi membantu dan menyokong masyarakat yang terjejas akibat banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, usaha tersebut memberi keutamaan untuk memastikan komuniti yang terjejas mendapat bekalan makanan asas selain dapat berhubung antara satu sama lain.
“Kami menghulurkan rasa simpati kepada keluarga yang bukan sahaja terjejas dengan banjir, tetapi juga pandemik COVID-19. Sememangnya kita berhadapan masa yang mencabar dan kami ingin meringankan beban mereka sebanyak mungkin.
"Sebagai pemain industri digital digital, kami memahami bahawa keperluan perhubungan amat kritikal dan baik pulih servis yang pantas dapat membantu individu dan keluarga, serta menyokong pelatih kecemasan.
"Kami akan terus memantau keadaan dan bersedia untuk membaiki kawasan rangkaian yang mengalami gangguan untuk memastikan kawasan terjejas terus berhubung," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Maxis turut merancang untuk menyampaikan bantuan di kawasan terjejas lain di seluruh negara.
Berikut adalah inisiatif yang digerakkan oleh Maxis;
1) Mitigasi rangkaian
- Maxis telah melaksanakan inisiatif mitigasi banjir di daerah berisiko tinggi sejak beberapa tahun berdasarkan pengalaman bencana banjir yang lalu.
- Antaranya adalah dengan menaikkan platform peralatan dan juga tambahan genset di tapak yang mempunyai potensi untuk mengalami gangguan tenaga.
- Maxis juga melakukan pemeriksaan kesihatan rangkaian secara proactif untuk memastikan tapak dan genset dalam keadaan yang baik dan sentiasa dijaga dengan rapi.
- Pegawai bencana banjir yang dilatih juga menggunakan bot Maxis untuk ke kawasan banjir untuk memastikan kerja baik pulih rangkaian dilakukan dengan pantas.
- Maxis juga berhubung rapat bersama badan-badan kritikal seperti SKMM, Jabatan Meteorologi Malaysia, dan pembekal kuasa utiliti berkenaan status grid kuasa, keadaan cuaca dan paras air di lokasi yang terjejas untuk bertindak sekiranya perlu.
2) Sumbangan makanan
- Maxis dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kini mengagihkan 1,000 kotak makanan dibungkus dan diedarkan oleh wakil YKN dan Maxis secara berperingkat kepada masyarakat di Mentakab, Maran, Indera Mahkota, Temerloh, Pekan, Kuala Lipis, Dungun, dan Gua Musang.
- Kerjasama ini sebahagian daripada sumbangan RM500,000 oleh Maxis kepada YKN pada December 2020 untuk komuniti terjejas dengan pandemik dan bencana banjir.
- Sumbangan kepada YKN adalah sebahagian dari RM1 juta yang dijanjikan oleh Maxis melalui GLC / GLIC Disaster Response Network (GDRN) dalam inisiatif "To Malaysia, With Love" yang baru dilancarkan oleh MCMC.
3) Pek SIM untuk perhubungan antara keluarga
- Maxis akan mengedarkan 2,000 pek SIM Hotlink Unlimited kepada keluarga dari komuniti yang terjejas.
- Ia merangkumi tiket tambah nilai untuk memberikan ketenangan fikiran untuk terus berhubung dengan orang tersayang pada masa sukar ini.
4) Membantu penjual Maxis yang terjejas
- Beberapa penjual Maxis terjejas berikutan banjir yang merosakkan kedai mereka.
- Untuk membantu mereka membuka semula kedai, Maxis akan membantu untuk usaha pembersihan, pembaikan kecil dan menyediakan bahan jualan baharu. - DagangNews.com