4 kontrak EPCC bernilai RM510 juta milik KPower | DagangNews Skip to main content

4 kontrak EPCC bernilai RM510 juta milik KPower

KPower Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - KPower Berhad (KPower) melalui anak syarikatnya KPower Engineering Sdn. Bhd. (KPEng) memperoleh empat kontrak yang bernilai kira-kira RM510 juta.

 

Keempat-empat kontrak berkenaan diperoleh daripada syarikat Cabaran Hijau Sdn. Bhd. (CHSB), Selat Serasi Sdn. Bhd. (SSSB), Denai Delima Sdn. Bhd. (DDSB) and Koridor Mentari Sdn. Bhd. (KMSB).

 

Kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) itu berkaitan dengan penyediaan loji tenaga hidro mini di negeri Pahang dan Perak.

 

Bagi negeri Pahang, loji tenaga hidro akan dibina dengan kapasiti sebanyak 18.7MW di Sg. Jelai Kecil, 13.9 MW di Sg. Telom dan 12 MW di Sg. Lemoi.

 

Selain itu, loji tenaga hidro dengan kapasiti 5.25 MW akan dibina dan disediakan di Sg. Kampar, Perak.

 

KPower berkata, kontrak berkenaan merangkumi kajian awal, kejuruteraan, pembinaan, penyeliaan, pengujian, komisen, ujian kebolehpercayaan dan pembaikpulihan sepanjang tempoh tanggungan.

 

Pihak yang berkaitan akan membuat satu perjanjian dalam tempoh 60 hari bekerja dari tarikh penerimaan kontrak dan pelaksanaan projek akan segera dijalankan.

 

Mengulas berkaitan kontrak berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun berkata, projek berkenaan mewakili komitmen pihaknya untuk terus membina infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

 

"Kontrak EPCC di Pahang adalah yang pertama di negeri ini, sementara kontrak tambahan di Perak membolehkan kami untuk terus berkembang di negari tersebut.

 

"Kontrak tersebut adalah sebagai tanda usaha kami untuk mendapatkan projek yang berterusan kerana kami berusaha untuk mencapai sasaran tambahan RM2 bilion dalam buku pesanan menjelang akhir tahun kewangan ini.

 

"Kami optimis terhadap prospek kumpulan memandangkan prospek yang kuat untuk sektor tenaga dan jangkaan pemulihan ekonomi," jelasnya lagi. 

 

Hingga kini, KPower telah memperoleh buku pesanan bernilai RM2.3 bilion di Malaysia, negara-negara ASEAN dan Nepal sejak Jun 2019.

 

Bagi tahun kewangan semasa termasuk empat kontrak yang diperoleh itu, KPower telah memperoleh projek bernilai RM1.2 bilion.

 

Kumpulan tersebut juga yakin akan memperoleh projek keseluruhan bernilai RM2.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. - DagangNews.com