4 perkara dorong kestabilan semula Omesti | DagangNews Skip to main content

4 perkara dorong kestabilan semula Omesti

Omesti Berhad

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Syarikat penyedia perkhidmatan teknologi, Omesti Berhad. (Omesti) yakin prestasi syarikatnya akan kembali stabil melalui empat perkara utama.

CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) berkata, pertamanya, prestasi Omesti dilihat berdasarkan Sistem Sokongan Perniagaan (BSS) syarikat tersebut yang berjaya mendapat kontrak bernilai RM200 juta daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM) pada April 2020.

"Sistem BSS ini bertujuan menggantikan pengurusan pelanggan, katalog produk, pengurusan pesanan TM dan sistem pengagihan dalam usaha meningkatkan operasi dan sokongan perniagaan TM.

"Susulan itu, Omesti juga yakin pihaknya akan dapat memenangi lebih banyak kontrak BSS daripada pelanggan lain," jelas CGS-CIMB.

Keduanya, Omesti juga telah melakukan pelbagai aktiviti transformasi digital bagi perniagaan dan perkhidmatan kerajaan khususnya pada peringkat permulaan COVID-19.

Kebanyakan syarikat perlu melakukan perubahan perniagaan kepada perniagaan secara digital.

Malah, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Ernst and Young pada 20 Jun lalu menunjukkan, penularan wabak berkenaan mendorong peningkatan perbelanjaan korporat ke arah transformasi perniagaan digital termasuk perkhidmatan kerajaan.

Jelas Omesti dalam nota kajian yang sama, pihaknya yakin akan mendapat keuntungan daripada kenaikan pelaburan IT oleh kedua-dua pihak perniagaan dan kerajaan.

Selain itu, pelaksanaan inisiatif penjimatan kos turut dijalankan Omesti selain berpotensi mendapatkan kontrak baharu.

"Di peringkat pasaran tempatan, Omesti tidak mempunyai saingan kerana kebolehan sistem BSS yang dimilikinya adalah unik. 

"Meskipun Omesti telah mengalami kerugian dalam beberapa tahun sebelum ini, syarikat tersebut (Omesti) yakin akan terus beroperasi dengan jayanya," jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com