40 kakitangan JCorp, syarikat kumpulan sertai program rehabilitasi terumbu karang di Pulau Aur Mersing | DagangNews Skip to main content

40 kakitangan JCorp, syarikat kumpulan sertai program rehabilitasi terumbu karang di Pulau Aur Mersing

Sebanyak 50 terumbu karang ditanam di Pulau Aur, Mersing, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Seramai 40 kakitangan Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menyertai program rehabilitasi terumbu karang anjuran Yayasan JCorp buat julung kalinya di Pulau Aur, Mersing, Johor baru-baru ini.

 

Menerusi program ini Yayasan JCorp mewujudkan Coral Nursery yang melibatkan penjagaan dan pembiakan spesies terumbu karang tertentu menggunakan kaedah yang beretika bagi memastikan kelestarian terhadap alam sekitar selain memberi kesedaran dan pendidikan kepada komuniti setempat tentang kepentingan pemuliharaan terumbu karang dan sumber marin.

 

Aktiviti sebegini sebagai usaha yayasan dalam memperkasa bidang fokus alam sekitarnya bagi mendidik dan memupuk kesedaran orang ramai berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk hidupan di laut. 

 

Ketua Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, pihaknya melaksanakan beberapa program berkaitan kelestarian alam sekitar pada tahun ini seperti penanaman pokok bakau di Tanjung Piai, Pontian dan pembersihan sungai di Kampung Sungai Melayu & Kampung Pendas, Johor Bahru. 

 

Katanya, pemeliharaan terumbu karang ini merupakan aktiviti ketiga yang dijayakan bagi bidang fokus alam sekitar Yayasan JCorp bagi tahun ini dan disertai oleh anggota pekerja JCorp dan syarikat kumpulan.

 

“Program ini juga disertai oleh Kelab Media Johor seramai 5 orang. Kami di Yayasan JCorp sangat mengalu-alukan kehadiran kelab media ini dan berharap kolaborasi sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

"Bersempena program ini juga, Yayasan JCorp mengambil peluang mengadakan aktiviti komuniti bersama penduduk di Pulau Aur tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini.


 

jcorp

 

 

Antara aktiviti yang dijayakan ialah pembersihan kawasan pantai dan tanah perkuburan, acara memasak secara rewang dan sumbangan berupa wang tunai kepada 38 keluarga di pulau tersebut. 

 

Program gotong-royong bersama penduduk pulau ini merupakan satu daripada aktiviti komuniti di bawah bidang fokus Kesejahteraan Komuniti Yayasan JCorp. Menerusi aktiviti ini secara tidak langsung merapatkan hubungan ukhwah antara anggota pekerja dengan masyarakat setempat. 

 

 

jcorp
Para peserta bergambar beramai- ramai sebelum aktiviti menanam terumbu karang di Pulau Aur, Mersing, Johor baru-baru ini.

 

 

Sebagai agen pelaksana tanggungjawab korporat Kumpulan JCorp, Yayasan JCorp sentiasa komited mengadakan pelbagai aktiviti dan inisiatif berkaitan empat bidang fokus utamanya iaitu Pendidikan, Seni, Budaya dan Warisan, Alam Sekitar dan Kesejahteraan Komuniti.

 

 

jcorp
Zaidatul Zurita Abdul Rahman (dua, kiri) bersama delegasi program beramah mesra dengan penerima sumbangan.

 

 

Antara syarikat Kumpulan JCorp yang terlibat dalam program rehabilitasi terumbu karang ialah Kulim (M) Berhad, KPJ Healthcare Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd, JLand Group Sdn Bhd, dan juga Yayasan JCorp.  - DagangNews.com