40 pelajar Kolej Tujuh Belas UPM sertai program K17 Zoolunteering | DagangNews Skip to main content

40 pelajar Kolej Tujuh Belas UPM sertai program K17 Zoolunteering

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Seramai 40 pelajar Kolej Tujuh Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama 12 felo pelajar terlibat dengan program pembersihan kawasan haiwan Zoo Negara.

 

Pengetua Kolej Tujuh Belas, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata, program ‘K17 Zoolunteering’ merupakan aktiviti sukarelawan melibatkan pelajar bagi membersihkan kawasan berkenaan.

 

Katanya, antara perkara yang dilakukan mereka termasuk mengecat pagar, menyapu kawasan haiwan dan membersihkan kawasan akuarium.

 

“Melalui program ini, para pelajar dapat mempelajari mengenai haiwan dengan lebih dekat.

 

"Pelajar juga diberi tunjuk ajar mengenai pengendalian haiwan dari segi keselamatan, kesihatan, keselesaan dan kesejahteraan haiwan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Program tersebut, Muhammad Firdauz Mhd. Razali berharap program itu memberi pengalaman yang baharu kepada sukarelawan, memupuk nilai kemanusiaan dan tanggungjawab mengenai hidupan liar dan alam sekitar.

 

Menurutnya, ‘K17 Zoolunteering’ yang berlangsung dari pukul 7 pagi hingga 4.30 petang itu dianjurkan oleh Sekretariat Keceriaan dan Kelestarian Hijau, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tujuh Belas sesi 2021/2022. - DagangNews.com