Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 8 Jun - Sebanyak 42 buah Pasar Segar Terkawal (PST) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM18.90 juta bagi tempoh hingga 4 Jun 2021.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, jumlah yang dicatatkan itu melibatkan 348 petani dan 6,879 usahawan.
PST diwujudkan dengan objektif untuk memberi akses pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan dengan tawaran penjimatan 5% hingga 20%.
Pada masa sama, PST turut bertindak sebagai ruang pasaran kepada usahawan untuk memasarkan produk sepanjang tempoh pelaksanaan PKP Total Lockdown Fasa Pertama.
Dalam sesi lawatan kerja ke lokasi PST MyFarm Outlet Putrajaya dan Pusat Operasi FAMA Dengkil, Sepang semalam, beliau memberitahu, PST akan terus beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh atau 'lockdown'.
“PST ini akan terus beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini.
"Pengguna turut disaran membeli barangan secara dalam talian (online) dan mengurangkan pertemuan (contact) di PST.
"Pelbagai kemudahan pembelian dalam talian telah tersedia seperti aplikasi Agrobazaar Online (ABO) serta aplikasi e-commerce lain sektor swasta yang juga menjual barangan segar dan keperluan seperti Shopee, Lazada, MyGrocer, OurFarm AirAsia, Farm2Table dan sebagainya," jelas beliau.
Sementara itu, beliau menambah, pihaknya sentiasa mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan.
Langkah tersebut termasuk pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasil pertanian serta industri makanan.
Selain itu, MAFI dengan kerjasama semua pihak bertanggungjawab terus memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan berada dalam keadaan yang mencukupi serta stabil. - DagangNews.com