433 projek bernilai RM97 bilion dikenal pasti berpotensi masuk ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

433 projek bernilai RM97 bilion dikenal pasti berpotensi masuk ke Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Julai - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti 433 projek baharu berpotensi dengan nilai RM97.4 bilion untuk melabur di Malaysia.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, projek berimpak tinggi berkenaan dijangka memberikan kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ia menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

"Kita telah mengenal pasti 433 projek baharu yang mempunyai potensi untuk membawa pelaburan mereka di Malaysia dengan nilai sebanyak RM97.4 bilion.

"Ini dalam proses rundingan antara Malaysia melalui MIDA bagi memastikan pelaburan yang berimpak tinggi ini dapat datang ke negara kita.

"Dalam keadaan pertembungan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, beberapa usaha telah dilakukan untuk relocate (menempatkan semula) operasi mereka ke rantau ini khususnya ke Malaysia," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai keyakinan pelabur terhadap Malaysia pasca-COVID-19, Mohamed Azmin berkata, agensi antarabangsa mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melonjak pada kadar 6.3% hingga 7.5% pada 2021.

Katanya unjuran itu dibuat oleh pakar ekonomi dan badan kewangan antarabangsa.

"Kerajaan mengambil maklum pengumuman Bank Negara bahawa pertumbuhan ekonomi negara tahun ini memang lembab di antara negatif dua hingga 0.5 peratus.

"Ketika ini kita di tahap pemulihan dan angka yang diumumkan Bank Negara itu memang satu angka yang dijangkakan kerana daripada 195 negara dunia, 150 negara mengalami kelembapan pertumbuhan ekonomi.

"Bagaimanapun, pakar ekonomi termasuk badan antarabangsa baru-baru ini termasuk Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Standard and Poor telah mengemukakan laporan yang terbaharu bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2021 dijangkakan pada 6.3 peratus hingga 7.5 peratus," katanya. – DagangNews.com