KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sebuah kajian baharu yang melibatkan lebih 3,300 pembeli dan 2,100 penjual di seluruh Malaysia oleh Shopee terhadap penggunanya, telah mengkaji kesan yang diwujudkan rakyat Malaysia terhadap ekonomi menerusi tingkah laku membeli-belah dalam talian mereka.
Tinjauan pasaran Celebrating the Heart of Malaysia on E-Commerce yang berlangsung dari 19 Julai hingga 17 Ogos 2022, mendapati bahawa bagi 4 daripada 10 penjual tempatan, Shopee adalah satu-satunya saluran perniagaan mereka dalam ekonomi ini.
Kajian yang tepat pada masanya ini mengetengahkan kepentingan pendapatan yang dijana dalam talian. 45% daripada komuniti penjual Shopee yang ditinjau berkata bahawa platform tersebut membolehkan mereka menyara keluarga mereka (menyediakan keperluan hidup, pendidikan, keperluan gaya hidup).
Kira-kira 26% menabung dan melabur hasil pendapatan ini untuk masa depan, dan para responden yang lain menggunakannya untuk mengekalkan kehidupan yang lebih baik, memastikan kakitangan mempunyai pekerjaan, dan meningkatkan perkembangan peribadi mereka.
Lebih daripada 8 dalam 10 penjual yang mengambil bahagian mengaitkan kejayaan jangka panjang kedai mereka bukan kepada diskaun yang ditawarkan, tetapi kepada pengalaman membeli-belah yang disesuaikan mengikut citarasa tempatan.
'Proses pembelian dan pemenuhan atau fulfilment yang sangat mudah' di Shopee (34%), pengiktirafan produk Buatan Malaysia sebagai produk yang berpatutan dan berkualiti tinggi (23%), perkhidmatan pelanggan yang hebat (19%) dan kedai atau storefront yang dioptimumkan dengan alat pemasaran Shopee (9%).
Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, tinjauan Celebrating the Heart of Malaysia on E-Commerce menekankan bagaimana penjual Malaysia terus berjaya dan membina keselamatan kewangan dengan menjual di pasaran dalam talian seperti Shopee.
"Ia merupakan sesuatu perkara yang penting bagi pemilik perniagaan untuk memahami bahawa pembeli-belah di Malaysia mempunyai motivasi selain daripada harga untuk membeli-belah dalam talian. Mereka dapat mewujudkan kesetiaan dan penglibatan yang lebih lagi dengan memadankan tawaran dan kandungan mereka dengan nilai pembeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salah satu penemuan paling jelas menerusi kajian ini adalah walaupun ekonomi kini telah dibuka semula, 9 daripada 10 pembeli di Malaysia masih gemar membeli-belah secara dalam talian.
Malah, lebih separuh daripada pembeli di platform tersebut melihat aktiviti membeli-belah dalam talian sebagai sesuatu yang lebih kekal, 21% merasakan ia sudah menjadi kebiasaan, 17% mengatakan mereka boleh mencari stok yang tersedia dalam talian dengan mudah dan 14% ingin mengakses pilihan yang tidak dapat dibeli secara luar talian di lokasi mereka.
Selain itu, 43% daripada pembeli menghargai membeli-belah secara dalam talian bagi membandingkan harga dalam persekitaran inflasi ini.
Penghantaran barangan yang lebih pantas merupakan sebab utama bagi pembeli di Malaysia untuk membeli-belah daripada penjual tempatan (42% daripada pembeli). - DagangNews.com