Rosol Wahid bersama Pegawai Kanan KPDNHEP ketika lawatan ke Malakat Mall di Cyberjaya pada 3 Februari baru-baru ini.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 5 Feb. - Tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP premis perniagaan adalah tinggi apabila hanya 45 premis atau 0.013% yang dikenakan kompaun.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, ia berdasarkan kepada pemeriksaan pematuhan SOP yang telah dijalankan oleh Penguatkuasa KPDNHEP sejak 4 Mei 2020 hingga 2 Februari 2021 yang melibatkan sebanyak 348,409 premis.
"Ini terserlah dan terbukti berdasarkan hanya 45 premis atau 0.013% dikenakan kompaun, manakala 554 premis atau 0.159% diberi amaran dan selebihnya sebanyak 340,245 premis atau 97.66% patuh dan 7,567 premis atau 2.172% diberi nasihat.
"Antara premis-premis yang dikenakan kompaun termasuklah farmasi, kedai telekomunikasi, restoran, kedai aksesori kenderaan, kedai pakaian dan bengkel kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, beliau turut berpuas hati dengan pengurusan Malakat Mall di Cyberjaya yang mematuhi 100% SOP PKP berdasarkan lawatan yang dijalankan bersama Pegawai Kanan KPDNHEP pada 3 Februari baru-baru ini.
Menyentuh berkaitan Ops Pasar 2021 (sayur-sayuran), sebanyak 449 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 daripada 413 premis dan 1,151 barangan yang diperiksa.
Ops Catut 8.0 (kelengkapan elektronik - komunikasi) yang dilancarkan pada 25 Januari 2021 pula telah mengeluarkan 261 notis di bawah seksyen 21 AKHAP 2011 daripada 261 premis dan 496 barangan yang diperiksa.
Bagi kawalan minyak masak atau Ops Rantai 7.0, KPDNHEP telah mengeluarkan 37 notis di bawah seksyen yang sama daripada 22 premis dan 40 barangan yang diperiksan sejak 26 Januari 2021.
"Secara keseluruhannya, sepanjang pelaksanaan PKP sehingga 1 Februari 2021, sebanyak 5,981 notis di bawah seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.
"Pemantauan juga mendapati keberadaan bekalan barangan khususnya barang makanan dan keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang dan pelitup muka di peringkat peruncit dan pemborong adalah pada tahap stabil dan mencukupi.
"Ini termasuklah di kawasan yang mengalami bencana banjir baru-baru ini," jelasnya lagi. - DagangNews.com