46 juta akan terjejas jika industri penerbangan global runtuh - IATA | DagangNews Skip to main content

46 juta akan terjejas jika industri penerbangan global runtuh - IATA

 


ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan sehingga 46 juta orang yang terlibat dalam rantaian sektor penerbangan akan terjejas sekiranya tiada langkah diambil oleh pihak kerajaan di seluruh dunia. 

Malah, berdasarkan analisis IATA yang dianggotai 297 syarikat penerbangan itu, kerugian dalam sektor tersebut juga akan memberi kesan ketara ke atas pertumbuhan ekonomi global dan mengancam AS$1.8 trilion aktiviti ekonomi. 

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, kehancuran ekonomi dan kehilangan pekerjaan akan terus meningkat saban hari sekiranya wabak COVID-19 semakin merebak. 

"Melainkan jika kerajaan cepat bertindak, kerana kira-kira 1.3 juta kakitangan syarikat penerbangan kini berisiko. 

"Ini juga akan memberi kesan domino kepada 3.5 juta tambahan pekerjaan dalam sektor penerbangan sekali gus menjejaskan kehidupan 46 juta orang yang sumber pendapatannya bergantung kepada sektor ini," katanya dalam kenyataan. 

 

Alexandre de Juniac
Alexandre de Juniac

 

Beliau menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan mala petaka ke atas ekonomi global  di samping menyalurkan bantuan kewangan tambahan. 

"Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan ujian COVID-19 yang lebih sistematik supaya sempadan dapat dibuka semula tanpa menjalani kuarantin," tegasnya. 

Dalam laporan IATA itu, industri penerbangan tidak boleh mengurangkan kos yang mencukupi bagi meneutralkan kesan aliran tunai yang teruk bagi mengelakkan syarikat jatuh bankrap dan mengekalkan kakitangan mereka pada 2021. 

Secara keseluruhan, perolehan industri penerbangan pada tahun hadapan dijangka merosot sehingga 46% berbanding AS$838 bilion yang direkodkan pada 2019. 

Sebelum ini, IATA mengunjurkan penyusutan hanya sekitar 29% sahaja dengan mengambil kira permintaan akan pulih pada suku keempat tahun ini. 

Bagaimanapun, dengan pemulihan semakin perlahan, terutama lonjakan kes COVID-19 masih ada hingga kerajaan terpaksa melaksanakan sekatan perjalanan termasuk penutupan sempadan dan kuarantin. 

Oleh itu, IATA menjangkakan trafik pada tahun ini akan merosot sehingga 66% berbanding 2019, dan pada Disember pula, menurun 68%.

Alexandre berkata, suku keempat tahun ini akan lebih mencabar dan kemungkinan juga memberi petunjuk untuk separuh pertama 2021.

"Tanpa bantuan tambahan dari kerajaan, syarikat penerbangan hanya mempunyai kira-kira 8.5 bulan sahaja untuk bertahan dengan baki tunai yang ada. 

"Lebih memburukkan keadaan, ia tidak cukup untuk mengurangkan kos bagi menampung pendapatan," katanya. - DagangNews.com