4Q20: Petronas Chemicals untung RM456 juta | DagangNews Skip to main content

4Q20: Petronas Chemicals untung RM456 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Petronas Chemicals Group Berhad (PetChem) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku keempat 2020 (4Q20) pada nilai RM456 juta. 

 

Ini meningkat sebanyak RM144 juta daripada RM312 juta, nilai keuntungan bersih yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun kewangan sebelumnya, menurut laporan prestasi kewangan tahunan yang diumumkan di Bursa Malaysia. 

 

Bagaimanapun, bagi tahun kewangan 2020 (FY20), kumpulan syarikat itu mencatatkan nilai keuntungan bersih yang lebih rendah, RM1.59 bilion, menyusut daripada RM2.80 bilion yang diperoleh pada FY19. 

 

Menurut PetChem, prestasi itu disebabkan oleh margin lebih kecil, harga minyak mentah yang menurun, permintaan lemah ekoran pandemik COVID-19 dan kerugian bersih lebih tinggi dari syarikat usaha sama dan sekutu. 

 

“Pada 18 November 2020, sebuah syarikat sekutu dengan kumpulan syarikat, BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC) membuat keputusan untuk tidak meneruskan kompleks Butanediol miliknya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula portfolio, menumpukan kepada pertumbuhan mampan berjangka masa panjang. 

 

“Jumlah aset meningkat kepada RM39.8 bilion, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kenaikan tunai dan setara tunai yang disumbangkan oleh keuntungan yang dijana sepanjang tahun ini, sebahagiannya diimbangi oleh pembayaran dividen kepada para pemegang saham,” kata kumpulan syarikat itu. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan PetChem, Mohd Azli Ishak berkata, kumpulan syarikat itu masih mengekalkan komitmen bagi nisbah pembayaran dividen sekitar 50% daripada keuntungan selepas cukai kumpulan dan faedah tanpa kawalan (PATANCI), mengikut dasar dividennya. 

 

“Dasar itu memastikan kami menyediakan pulangan yang menarik untuk memenuhi harapan pemegang saham, sementara menyimpan tunai yang mencukupi untuk disalurkan kepada pertumbuhan pelaburan. 

 

“Kumpulan syarikat mengisytiharkan dua dividen interim sebanyak 5 sen dan 7 sen setiap saham biasa bagi tahun ini, merangkumi pembayaran dividen sebanyak 59% daripada PATANCI bernilai RM1.0 bilion,” katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, beliau berkata, tahun 2021 dilihat lebih meyakinkan, namun masih terdapat ketidaktentuan dan cabaran memandangkan pandemik COVID-19 menyukarkan kumpulan syarikat itu untuk meramalkan situasi pada masa hadapan. 

 

“Ekonomi akan mengambil masa untuk pulih semula, dan harga minyak mentah serta produk dijangka tidak dapat bertahan pada paras sebelum pandemik. Oleh itu, kami menyedari keperluan untuk kekal berhati-hati, dengan pengurusan dan pengoptimuman kos yang berdisiplin menjadi keutamaan kami. 

 

“Dari sudut yang positif, kami memasuki 2021 dengan kunci kira-kira lebih kukuh, membolehkan keupayaan dan fleksibiliti kami berada di landasan pertumbuhan. Pada tahun akan datang, kami menyasarkan untuk terus melabur dalam projek pertumbuhan derivatif dan bahan kimia khas.

 

“Kami melihat masa mencabar ini sebagai peluang untuk membuat cadangan nilai baharu; untuk membina ketahanan dan memberikan pertumbuhan yang mampan,” katanya lagi.

 

Ketika ditutup pada 5 petang, nilai saham PetChem menyusut 2 sen kepada RM8.20. - DagangNews.com