Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Produktiviti buruh Malaysia terus menurun kepada -2.9% pada suku keempat 2020 (4Q20) daripada -2.2% pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, produktiviti buruh kekal dalam trend menurun bagi empat suku berturut-turut dengan merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM23,570 per pekerja.
“Pada suku ini, jumlah pekerja berkurangan 0.6% (suku ketiga 2020: -0.4%) kepada 15.2 juta orang sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4Q20 menguncup 3.4% (3Q20: -2.6%).
“Jumlah jam bekerja menurun 2.7% selaras dengan waktu operasi perniagaan yang lebih singkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), merekodkan jumlah jam bekerja sebanyak 8.6 bilion jam.
“Ini menyebabkan produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turun sedikit 0.8% kepada RM42 per jam setelah meningkat marginal 0.1% (RM41 per jam) pada 3Q20,” katanya dalam kenyataan bagi Produktiviti Buruh Suku Tahun Keempat 2020 yang dikeluarkan DoSM hari ini.
Dalam pada itu, mengikut sektor ekonomi, pembuatan merupakan satu-satunya yang mencatatkan pertumbuhan pada 3.2% (suku ketiga 2020: 3.7%) bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja.
Jelas kenyataan itu, hampir kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan dalam produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku berkenaan kecuali pembuatan yang terus mencatatkan kenaikan 6.0% (3Q20: 7.0%).
Dari segi produktiviti buruh sepanjang tahun lalu, Mohd. Uzir berkata, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja jatuh 5.4% daripada 2.1% pada 2019 berikutan krisis kesihatan dan pelbagai fasa kawalan pergerakan yang dilaksanakan sepanjang tahun dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM88,899 per pekerja (2019: RM93,973 per pekerja).
Sebaliknya, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada 2020 meningkat 3.4% (2019: 2.2%) dengan nilai RM42 per jam (2019: RM41 per jam), katanya.
Jumlah jam bekerja pada 2020 pula adalah sebanyak 32.0 bilion jam (2019: 35.0 bilion jam), berkurangan 8.7% (2019: 2.1 %), tambah Mohd Uzir.
Katanya, sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi yang ditunjukkan melalui nilai ditambah, jatuh kepada 5.6% (2019: 4.3%) manakala pekerja jatuh 0.2% (2019: 2.1%).
Sehubungan itu, beliau melihat pandemik COVID-19 menyebabkan perniagaan perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi.
“Menerusi penggunaan teknologi, ia akan menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka sederhana dan panjang.
“Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan, dan dengan itu akan mengekalkan perniagaan serta pekerjaan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya lanjut. - DagangNews.com