KUALA LUMPUR 20 Feb - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) mencadangkan lima pendekatan kepada kerajaan dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) ketika negara melalui fasa pemulihan.
Presiden SAMENTA, Datuk William NG berkata, antara pendekatan yang diusulkan termasuk menghentikan kenaikan bil elektrik kerana tindakan menaikkan kos kepada PKS adalah tidak munasabah terutama selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan pertumbuhan setinggi 9.6% dalam tempoh sembilan bulan 2021 selain memperkenalkan semula kepada pengguna komersial dan industri.
Beliau meminta kerajaan mempercepatkan peralihan kepada sistem pinjaman yang diterajui pasaran kerana kebayakan bank terikat dengan peraturan Bank Negara yang agak bertentangan dengan trend ke arah pembiayaan yang diterajui pasaran seperti yang diamalkan oleh syarikat-syarikat peer-to-peer (P2P).
Katanya, walaupun Bank Negara amat pro-aktif dalam menyokong PKS namun industri itu memerlukan kerajaan mengambil lebih risiko bagi membolehkan lebih banyak perniagaan memperoleh pembiayaan melalui pelbagai sumber.
"Buka semula sempadan negara dengan segera, walaupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah mencadangkan pembukaan semula sempadan tanpa kuarantin pada 1 Mac kepada pelawat yang telah lengkap divaksin namun kerajaan belum memutuskan perkara ini.
"SAMENTA menyokong pembukaan semula sempadan kami kepada semua pelawat. Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) juga harus dipercepatkan ke lebih banyak pasaran, dan dengan kapasiti yang lebih tinggi. Tanpa pergerakan bebas, harapan kami untuk pemulihan berasaskan perdagangan akan kekal lemah.
Selain itu, William meminta agar kerajaan segera mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik untuk membolehkan rakyat dan perniagaan menyambung semula kehidupan mereka secara normal.
Beliau juga meminta agar pasaran semasa menentukan gaji kerana peningkatan gaji secara paksa ketika ekonomi masih rapuh memberi bayangan kepada sektor swasta terutamanya PKS bahawas usaha untuk pemulihan adalah untuk mengurangkan tekanan kos ke atas pengguna dan bukannya untuk menyelamatkan PKS.
"SAMENTA tidak membantah sebarang kenaikan gaji, adalah lebih baik diserahkan kepada pasaran untuk menentukan gaji untuk pelbagai industri dan peranan pekerjaan.
"Gaji harus terikat dengan produktiviti dan keluaran dan bukannya atas pertimbangan politik semata-mata. Hakikatnya, kebanyakan perniagaan sudah membayar lebihi dari RM 1,500 kepada pekerja tempatan, jadi kenaikan gaji minimum adalah tidak perlu dan kurang produktif," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PKS sedang menghadapi tiga cabaran iaitu peningkatan kos mendadak, kekurangan tenaga kerja dan persekitaran politik yang kurang stabil.
"Perkara ini perlu diselesaikan atau dikurangkan dengan segera atau usaha untuk pemulihan sepenuhnya ke tahap pra-pandemik tidak akan dapat direalisasikan," katanya. - DagangNews.com