Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyimpulkan 10 perancangan utama kerajaan kepada lima langkah dalam meningkatkan pendapatan Bumiputera dan menambah pendapatan golongan menengah Bumiputera.
Katanya, langkah tersebut adalah dengan memperkukuh institusi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) melalui tadbir urus yang lebih baik dan berfokus.
"Selain itu, menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang akan dipengerusikan oleh PM bagi menetapkan hala tuju pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
"Kerajaan juga akan terus memberi penekanan kepada usaha-usaha meningkatkan pencapaikan Bumiputera dalam bidang pendidikan melalui institusi-institusi seperti MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB)," jelasnya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan tersebut dibentangkan selepas Ahmad Maslan meminta beliau menyatakan 10 perancangan utama secara terperinci dalam meningkatkan pendapatan Bumiputera serta menambah bilangan masyarakat kelas menengah merentasi pelbagai kaum.
Ahmad Maslan turut meminta Perdana Menteri menjelaskan contoh perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan mengukuhkan ekonomi Bumiputera.
Tambah Mustapa, kerajaan juga menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan melalui pembinaan kapasiti dan penyertaan yang lebih efektif dalam pelbagai bidang selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara.
Tidak terhenti disitu, kerajaan juga meningkatkan pemilikan ekuiti korporat dengan kawalan efektif (effective control) serta pemilikan aset hartanah Bumiputera melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
"Bagi soalan kedua, RMK-12 masih belum dimuktamadkan. Dalam merangka rancangan ini, kerajaan akan meneruskan dasar-dasar sebelum ini yang didapati berkesan di samping memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam bidang hartanah komersial, bidang-bidang baharu seperti digital dan teknologi tinggi.
"Selain itu, kerajaan juga akan menggandakan usaha-usaha bagi mengurangkan kadar kemiskinan tanpa mengira kaum," jelasnya lagi. - DagangNews.com