5 negeri beralih ke Fasa 4 PPN bermula Isnin ini | DagangNews Skip to main content

5 negeri beralih ke Fasa 4 PPN bermula Isnin ini

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Lima negeri termasuk Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin ini.

 

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas keputusan berkenaan dicapai dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang bermesyuarat hari ini. 

 

"Mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk peralihan fasa PPN bagi negeri-negeri berkenaan berkuat kuasa 8 November. 

 

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini. 

 

"Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Peralihan fasa bagi lima negeri itu bermakna hanya Kelantan dan Sarawak sahaja berada dalam Fasa 3 PPN manakala semua negeri serta wilayah lain telah pun berada dalam Fasa 4. 

 

Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan, kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah yang belum atau tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium dan semua fasiliti sukan.

 

"Individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan kebenaran ini berkuat kuasa pada 8 November ini.

 

"Pada masa ini, aktiviti makan dan minum dalam stadium adalah tidak dibenarkan," katanya.

 

Hishammuddin turut menyeru agar semua kelonggaran-kelonggaran yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab. 

 

"Pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri. 

 

"Paling penting, dalam membantu usaha kerajaan #ReopeningSafely, semua pihak amat digalakkan untuk mengamalkan TRIIS dengan sebaik mungkin iaitu 'Test, Report, Isolate, Inform dan Seek' demi keselamatan diri, ahli keluarga dan orang sekeliling," katanya.-DagangNews.com