5 perusahaan sosial terima geran SIM RM10 juta | DagangNews Skip to main content

5 perusahaan sosial terima geran SIM RM10 juta

Pinkcollar

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Sebanyak lima perusahaan sosial (SE) bakal menerima dana sokongan melalui Geran Pemadanan Impak Sosial (SIM) bernilai RM10 juta dalam usaha menjaga kelestarian planet dan membantu masyarakat yang terpinggir.

 

Lima syarikat tersebut adalah E-waste Recycle Through Heroes (ERTH), Pinkcollar, GoodKids, OA Organic dan HariGaji yang merupakan antara pemohonan pertama dan berjaya mendapat geran berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Dzuleira Abu Bakar berkata, beliau gembira kerana kesemua perusahaan sosial tersebut mendapat bantuan kewangan itu seiring dengan kelayakan.

 

"Mereka telah melakukan banyak kebaikan dan mereka juga turut terkesan oleh COVID-19.

 

"Dengan dana tambahan ini, kami berharap mereka akan dapat meneruskan misi mulia mereka, jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

OA Organic
OA Organic

 

Geran SIM yang bernilai RM10 juta adalah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) yang diperkenalkan untuk menyokong perusahaan dan inovasi sosial di Malaysia.

 

Geran berkenaan sekali gus membantu mengekalkan inisiatif dan program perusahaan sosial, memanfaatkan kemampuan untuk mengumpul dana, meningkatkan kesedaran masyarakat dalam inovasi sosial dan mewujudkan penyelesaian untuk hasil sosial serta persekitaran yang baik.

 

Pemberian geran berkenaan akan digunakan melalui padanan pada kadar 1:1 dan disediakan untuk pemohonan yang memenuhi syarat dengan usaha pendanaan yang berjaya.

 

Sejak ditubuhkan pada 2016, ERTH berjaya mengumpulkan lebih daripada 200 tan e-waste selain memindahkan e-waste dari tapak pelupusan sampah untuk dikitar semula.

 

EARTH juga mengumpulkan RM50,000 daripada penderma dan akan menerima RM50,000 lagi daripada geran SIM.

 

Menurut Pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry, pihaknya merancang untuk memperluas platform digital selain meningkatkan kadar pengumpulan di Semenanjung Malaysia melalui dana yang diperoleh.

 

OA Organic
OA Organic

 

OA Organik pula yang merupakan syarikat komuniti perdagangan adil yang menjalin kerjasama dengan komuniti Orang Asli berjaya mengumpulkan RM250,000.

 

Perusahaan berkenaan bekerjasama dengan lebih daripada 36 petani organik Orang Asli untuk meningkatkan mata pencarian golongan berkenaan dengan pemberian modal, latihan, teknologi sokongan pemasaran.

 

Punkcollar pula berjaya memperoleh dana sebanyak RM30,000 untuk mengurangkan eksploitasi sistematik.

 

Dalam pada itu, GoodKids pula memberi kesan positif kepada lebih daripada 500 belia yang terpinggir dengan memanfaatkan seni persembahan dan membina keyakinan diri melalui hasil dana yang dikumpul sebanyak RM8,248.

 

Manakala HariGaji pula membantu pekerja dengan pemberian keselamatan kewangan melalui platform yang membolehkan mereka mendapatkan gaji lebih awal tanpa sebarang faedah.

 

Dengan jumlah dana RM20,000, ia merancang untuk mengembangkan alat pengurusan kewangan dalam talian untuk belia bandar B40. - DagangNews.com