50 kenderaan HMLTV akan jadi aset baharu Malbatt di Lubnan, babitkan perolehan RM400 juta | DagangNews Skip to main content

50 kenderaan HMLTV akan jadi aset baharu Malbatt di Lubnan, babitkan perolehan RM400 juta

Kenderaan Nurol Makina Panthera buatan Turkiye.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 5 Dis - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam proses memperoleh 50 buah kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) untuk kegunaan tentera pengaman Malaysia (Malbatt) di Lubnan.

 

Perolehan bernilai RM400 juta ini untuk menggantikan kenderaan-kenderaan di sana yang sudah tidak sesuai atau berusia secara berperingkat-peringkat.

 

Proses tersebut akan dimulakan pada tahun hadapan apabila peruntukan disalurkan kerajaan yang mana jangkaan ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.

 

Ini termasuk menilai jenis kenderaan yang bersesuaian dengan kehendak operasi Malbatt serta sistem persenjataan dan juga elektronik kenderaan.

 

Apc
Kenderaan APC Guardian.

 

Apc

 

HMLTV merupakan kenderaan taktikal ringan yang mempunyai perisai bagi menangkis tembakan senjata kecil sesuai dengan fungsi untuk beroperasi di medan tempur.

 

Kenderaan ini boleh digunakan untuk melakukan tinjauan, menyusup ke kawasan musuh, membawa anggota dan pelbagai kegunaan operasi taktikal.

 

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci tetapi berkemungkinan ia juga untuk menggantikan sebahagian kenderaan Radpanzer Condor yang digunakan di sana sejak tahun 2007.

 

Radpanzer Condor yang kini berusia lebih 40 tahun menjadi tulang belakang bagi pasukan Malbatt khususnya semasa melakukan rondaan di lokasi-lokasi berisiko.

 

Apc
Sebanyak 39 buah Radpanzer Condor dioperasikan Malbatt di Lubnan sejak 2007.

 

Sehingga kini sebanyak 39 buah Radpanzer Condor ditempatkan di Lubnan.

 

Justeru, menggantikan Radpanzer Condor dengan kenderaan perisai yang lebih baik dan moden tepat pada masanya selain meningkatkan keupayaan tentera pengaman di sana.

 

Bagaimana pun, kenderaan Radpanzer Condor yang ada ini boleh dibawa pulang dan digunakan oleh lain-lain pasukan memandangkan ia masih kenderaan perisai yang baik, misalnya sebagai pertahanan statik di pintu sempadan.

 

Pada masa sama, Malbatt juga bakal menerima 20 buah kenderaan perisai pengangkut anggota (APC) Nurol Makina Panthera 4X4 dari Turkiye awal Januari tahun depan.

 

Apc
Tentera pengaman Malaysia bersama kenderaan APC Guardian.

 

Penerimaan aset baharu ini bagi meningkatkan tahap kesiagaan dalam melaksanakan misi pengaman di Lubnan.

 

Perolehan kenderaan Nurol Makina Panthera 4X4 dibuat pada tahun 2021 dengan kos RM190 juta.

 

Keputusan ATM memilih Nurol Makina Panthera 4X4 dipercayai atas reputasi kenderaan tersebut yang turut digunakan beberapa negara lain, malah ia juga melengkapi angkatan tentera Turkiye.

 

Kenderaan ini boleh membawa 11 anggota selain mempunyai ketahanan daripada ledakan periuk api atau bahan letupan diubah suai.

 

Apc
Nurol Makina Panthera dibina bagi menghadapi operasi ketenteraan yang mencabar dan pelbagai.

 

Apc

 

Turkiye membangunkan kenderaan APC ini berdasarkan pengalaman berhadapan operasi-operasi insurgensi serta risiko semasa rondaan dan tinjauan.

 

Uzbekistan, Ukraine dan Qatar antara negara yang mengoperasikan kenderaan ini.

 

Jika mengikut perancangan asal, Panthera dibeli untuk menggantikan sembilan buah kenderaan 4x4 Guardian yang diterima Malbatt pada 2018.

 

APC Guardian keluaran International Armored Group United Kingdom itu adalah sebahagian kontrak perolehan sistem misil Starstreak bagi menggantikan kenderaan berperisai yang lama serta rosak.

 

Bagaimana pun, ia didapati tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebabkan bayaran balik yang diterima negara kurang RM2.22 juta.

 

Sama ada kenderaan APC Guardian ini akan dikembalikan ke tanah air setelah Panthera diterima Malbatt tidak diketahui.- DagangNews.com