CelcomDigi catat keuntungan bersih 3Q sebanyak RM436.98 juta, isytihar 3.6 sen dividen  | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi catat keuntungan bersih 3Q sebanyak RM436.98 juta, isytihar 3.6 sen dividen 

Gambar hiasan dari laman web rasmi CelcomDigi
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM436.98 juta, turun daripada RM455.72 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, ia merekodkan pendapatan sesaham yang lebih rendah sebanyak 3.72 sen berbanding 3.88 sen sebelumnya pada suku ketiga. 

 

CelcomDigi berkata, usaha integrasi dan pemodenan rangkaiannya kini hampir siap sebanyak 70%, dengan lebih 10,500 tapak dimodenkan pada akhir Oktober 2024.

 

Dalam laporan prestasi suku ketiganya, CelcomDigi berkata, lebih 65% pelanggannya mendapat manfaat daripada peningkatan kualiti pada rangkaian pintar baharu serta menyasarkan untuk melengkapkan 75% peningkatan rangkaian menjelang akhir 2024.

 

Syarikat telekomunikasi itu melaporkan hasil sebanyak RM3.13 bilion berbanding RM3.1 bilion pada suku perbandingan dan dijangka mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 3.6 sen sesaham, pada 5 Disember 2024 dan perlu dibayar bermula 23 Disember 2024.

 

Pada suku tersebut, pelanggan pascabayar CelcomDigi meningkat 92,000 suku ke suku (QoQ) dan 377,000 tahun ke tahun (YoY) kepada 5.71 juta pelanggan.

 

Hasil pascabayar meningkat 0.7% QoQ dan 3% YoY kepada RM1.05 bilion, didorong oleh asas pelanggan yang berkembang, langganan berbilang talian dan migrasi prabayar ke pascabayar.

 

Segmen prabayar menguncup sebanyak 105,000 QoQ dan 775,000 YoY kepada 12.84 juta pelanggan, hasilnya pula jatuh 1.4% QoQ dan 4.4% YoY kepada RM1.1 bilion akibat penyatuan dwi SIM dan keputusan strategik untuk mengurangkan pergantungan pada segmen SIM.

 

Sementara itu, segmen rumah dan gentian menyaksikan pertumbuhan pelanggan berterusan sebanyak 19,000 QoQ dan 58,000 YoY kepada 159,000 pelanggan. Purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) meningkat kepada RM109 berikutan penggunaan pelan kelajuan premium yang lebih tinggi.

 

Terdapat penurunan dalam hasil perusahaan sebanyak 2.2% QoQ dan 3.3% YoY kepada RM296 juta, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam hasil mudah alih.

 

Dalam tempoh sembilan bulan hingga 30 September 2024, CelcomDigi mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion berbanding RM1.12 bilion pada 9MFY23, manakala hasilnya merosot sedikit pada RM9.4 bilion berbanding RM9.41 bilion pada tempoh tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata, keputusan kewangan itu amat menggalakkan memandangkan minat yang jelas dan semakin meningkat dalam kecerdasan buatan (AI) dan rumusan teknologi baru muncul dalam kalangan perusahaan.

 

"Kami sedang meneroka Pusat Pengalaman AI (AiX) secara aktif bagi mempercepatkan penerimaan, ketika kami berubah menjadi syarikat yang mengutamakan AI, kami terus melabur dalam inovasi dan rumusan 'melangkaui ketersambungan' sebagai enjin pertumbuhan kami.

 

"Keutamaan kami kekal dalam menyampaikan perkhidmatan sambungan 4G/5G yang mantap dan cekap serta rumusan AI kepada pengguna dan perusahaan, serta memajukan pembangunan negara menjadi masyarakat digital dikuasakan 5G-AI," katanya. - DagangNews.com