KUALA LUMPUR 10 Mac 2023 – Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kejayaannya menjalankan kes Implantasi Injap Aorta Transkateter (TAVI) yang ke-50 baru-baru ini. Prosedur TAVI pertama telah berjaya dilaksanakan di CVSKL pada tahun 2019.
Prosedur TAVI adalah prosedur invasif minimum yang sangat rumit (kompleks), khusus untuk individu dengan masalah stenosis aorta (injap aorta tersumbat) yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan, terutama dalam kalangan warga emas.
Stenosis aorta berlaku apabila injap di antara ventrikel kiri dan aorta tidak terbuka sepenuhnya akibat pemendakan kalsium, yang menyebabkan darah sukar mengalir ke seluruh badan.
Penyakit injap jantung adalah salah satu penyebab utama morbiditi dan mortaliti kardiovaskular di dunia dan kemerosotan patologinya dikaitkan dengan proses penuaan, di mana pembedahan tidak sesuai untuk pesakit yang lebih tua.
Perunding kardiologi, Datuk Dr Rosli Mohd Ali sememang terkenal dengan kemahirannya merintis prosedur TAVI dan beliau adalah salah seorang daripada dua proktor di negara ini.
Bersama dua pakar kardiologi, Datuk Dr. Tamil Selvan Muthusamy dan Dr. Choo Gim Hooi sebagai pakar bedah kedua dan ketiga, beliau mengetuai pasukannya melakarkan kejayaan dalam prosedur selama 2 jam itu.
Mengulas tentang pencapaian tersebut, Datuk Dr Rosli memberitahu bahawa ‘pasukan jantung’ cukup teruja untuk meraikan pencapaian penting itu dan menyifatkan ia sebagai kejayaan seluruh pasukan.
Beliau menambah, “Prosedur TAVI telah mengubah senario dalam rawatan stenosis aorta yang teruk, memberikan pilihan kepada pesakit yang tidak sesuai untuk menjalani pembedahan terbuka. Kerja berpasukan yang cemerlang antara rakan sekerja saya dan seluruh pasukan cathlab di sini memastikan semua kes yang rumit (kompleks) diselaraskan sebaik-baiknya untuk memastikan hasil dan kualiti penjagaan yang lebih baik.”
Ditubuhkan pada 2020, program Structural Heart Centre of Excellence (Pusat Kecemerlangan Jantung Berstruktur) di CVSKL berfungsi untuk mendiagnosis dan merawat masalah struktur jantung yang menjejaskan injap, dinding, ruang, dan otot jantung. Masalah-masalah jantung ini wujud sejak lahir atau ia disebabkan oleh penuaan.
Pencapaian cemerlang CVSKL ini menunjukkan komitmennya untuk menyediakan rawatan yang paling maju dan inovatif kepada pesakit.
Hospital ini terus memainkan peranan penting dalam kemajuan penjagaan kesihatan jantung di Malaysia dan luar negara. Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke info@cvskl.com atau hubungi atau WhatsApp +603 2276 7002 pada waktu pejabat. - DagangNews.com