51,726 unit Rumah Mesra Rakyat siap dibina di seluruh negara - PM | DagangNews Skip to main content

51,726 unit Rumah Mesra Rakyat siap dibina di seluruh negara - PM

Rumah Mesra Rakyat - Gambar SPNB
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

TASEK GELUGOR 19 Okt - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menyiapkan sejumlah 51,726 unit skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara termasuklah di Pulau Pinang, manakala pada tahun ini sebanyak 5,000 unit rumah telah mendapat kelulusan pembinaan sehingga kini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah Kerajaan khususnya untuk golongan muda, B40 dan M40.

 

"Bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik mencukupi untuk seluruh Keluarga Malaysia, KPKT melalui masih meneruskan skim RMR yang diperkenalkan sejak 20 tahun lalu.

 

"Kerajaan juga menambah nilai peruntukan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) sebanyak RM6.5 juta bagi memberi manfaat kepada 435 penerima bantuan perumahan di Pulau Pinang," katanya ketika berucap merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, dalam usaha mengimbangi kesan pembangunan pesat dan komuniti bandar, kerajaan telah memperkenalkan PKKB yang turut merangka dasar yang relevan bagi meningkatkan kesejahteraan sosial dan memperkukuhkan keharmonian dalam komuniti.

 

Beliau berkata, pelaksanaan PKKB dibuat setelah mengambil kira kepentingan semua lapisan dan menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

"Kerajaan juga telah memperuntukan sebanyak RM2.25 juta bagi pelaksanaan PKKB di Semenanjung Malaysia dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak tahun depan, InsyaAllah," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata, bagi berdepan dengan kemiskinan di bandar, kerajaan juga melaksanakan PPKB bagi mengurangkan beban tanggungan Ketua Isi Rumah (KIR) dan meningkatkan kualiti hidup keluarga.

 

Katanya, pembasmian kemiskinan ini terutamanya melibatkan kumpulan B40, memerlukan usaha sepakat dalam mengurangkan kesukaran dan meningkatkan daya upaya keluarga miskin di bandar dalam menghadapi cabaran perbandaran.

 

"Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan Program Baik Pulih Rumah dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) bagi menambah baik kualiti kehidupan berkeluarga di bandar," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan melalui KPKT juga menyokong program keusahawanan dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara melalui Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB).

 

Katanya, program ini bertujuan meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan B40 dengan memberikan pelbagai bantuan berbentuk latihan, bimbingan serta peralatan bagi membantu mereka memulakan perniagaan.

 

"Seramai 249 peserta di Pulau Pinang telah berjaya menjalani latihan keusahawanan pada tahun ini dan sejumlah mereka telahpun berjaya menjana pendapatan tambahan melebihi RM600. Alhamdullilah," katanya.

 

Beliau berkata, KPKT juga bergerak secara proaktif dengan menggubal Dasar Komuniti Negara (DKomN) untuk membentuk komuniti yang lebih peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat dan mewujudkan kehidupan Keluarga Malaysia yang lebih sejahtera.

 

Dasar ini memberi penekanan kepada nilai murni, rasa tanggungjawab dan rasa kepunyaan dalam kalangan komuniti bandar untuk menjalani kehidupan harian yang selesa selaras dengan hasrat Keluarga Malaysia, katanya. - DagangNews.com