520 pasukan PLUSRonda pantau kelancaran lebuh raya PLUS sepanjang Aidilfitri | DagangNews Skip to main content

520 pasukan PLUSRonda pantau kelancaran lebuh raya PLUS sepanjang Aidilfitri

Pendekatan utama PLUS adalah meningkatkan rondaan pasukan PLUSRonda untuk memberikan bantuan kepada kenderaan yang terkandas lebuh raya.

KUALA LUMPUR 21 April - PLUS mempersiapkan 520 pasukan PLUSRonda sebagai persediaan lebih 2 juta kenderaan yang dijangka menggunakan rangkaian lebuh rayanya pada setiap hari puncak di antara 29 April hingga 9 Mei yang akan datang bersempena dengan sambutan Aidilfitri.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUSi mengambil langkah proaktif dalam usahanya membantu pengguna menikmati perjalanan yang selamat dan selesa di lebuh raya ketika berlakunya lonjakan trafik tersebut. 

 

''Setelah 2 tahun tidak berpeluang untuk merayakan Aidilfitri bersama-sama keluarga di kampung akibat sekatan perjalanan disebabkan COVID-19, sudah pasti ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk beraya di kampung pada tahun ini.

 

''Justeru, kami menjangkakan lebuh raya mungkin akan sesak dan ia boleh memanjangkan tempoh perjalanan orang ramai. 

 

''Oleh itu, PLUS telah mengadakan persiapan rapi dan bersedia untuk menguruskan lonjakan trafik ini menerusi pendekatan yang proaktif untuk membantu orang ramai bergerak dengan selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Di antara pendekatan yang utama adalah meningkatkan rondaan pasukan PLUSRonda untuk memberikan bantuan kepada kenderaan yang terkandas lebuh raya.

 

Pada musim perayaan ini, jumlah pasukan rondaan PLUSRonda ditambah kepada 520 pasukan bagi membolehkan pasukan ini meningkatkan kekerapan rondaan mereka terutamanya di laluan-laluan yang kritikal.

 

“Pada masa yang sama, kami juga sedar impak kehadiran kenderaan rosak dan terkandas di lebuh raya terhadap kelancaran pergerakan orang ramai di laluan terbabit.

 

''Oleh yang demikian, PLUS akan menempatkan trak tunda serta kren di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengalihan kenderaan-kenderaan yang terkandas terutamanya di laluan-laluan mendaki,” jelas Zakaria.

 

Di laluan-laluan kritikal, PLUS juga bersedia untuk mengaktifkan Laluan Kontra di lokasi tertentu dengan bantuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

 

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 

 

Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang diberikan menerusi papantanda di lokasi laluan kontra tersebut.

 

Sepertimana pada musim-musim perayaan yang lalu, PLUS akan meneruskan kolaborasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ambulans dan lain-lain lagi. 

 

Ketika pasukan Polis dan JPJ mengadakan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya, pasukan bantuan kecemasan seperti Bomba dan St John Ambulance diletakkan dalam keadaan bersedia di plaza-plaza tol yang strategik dan akan dikerahkan ke lokasi insiden dengan segera dan pantas apabila diperlukan pada bila-bila masa.

 

Pada musim perayaan yang akan datang, kira-kira 500 anggota pasukan kecemasan (ERT) akan berada di lebuhraya untuk memberikan bantuan.

 

 

PLUS

 

PLUS

 

 

Selain lebuh raya, PLUS turut memberi lebih fokus terhadap kelancaran trafik dan keselesaan orang ramai di plaza tol dan kawasan-kawasan rehat sepanjang musim perayaan yang akan datang.

 

Maklumat lanjut tentang persediaan PLUS di plaza tol dan kawasan rehat akan menyusul. - DagangNews.com