55 syarikat penerbangan antarabangsa kembali beroperasi di kesemua lapangan terbang antarabangsa Malaysia | DagangNews Skip to main content

55 syarikat penerbangan antarabangsa kembali beroperasi di kesemua lapangan terbang antarabangsa Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Sejumlah 62% atau 55 daripada 89 syarikat penerbangan antarabangsa sudah kembali beroperasi di kesemua lima lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.

 

Lapangan terbang itu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

 

Antara syarikat penerbangan yang memperkenalkan destinasi antarabangsa baharu bulan lepas termasuk Batik Air Malaysia yang memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Phuket dengan tujuh penerbangan seminggu.

 

Malaysia Airlines Berhad (MAB) memulakan dua perkhidmatan penerbangan terus terus baharu iaitu Kuala Lumpur - Haneda dengan dua penerbangan setiap minggu dan Kota Kinabalu ke Singapura dengan tiga penerbangan secara mingguan.

 

Firefly menyambung semula perkhidmatan penerbangan dari Plau Pinang ke Phuket dengan empat penerbangan seminggu.

 

"Hasil daripada itu, MAB berjaya mencatatkan 1.7 juta pergerakan penumpang antarabangsa pada Ogos 2022 untuk operasinya di Malaysia, peningkatan 7.1% jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.

 

"Antara faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan pergerakan itu termasuk kelonggaran keperluan visa oleh Arab Saudi yang membawa kepada lebih banyak penerbangan Umrah dan pelonggaran syarat kemasukan perjalanan bagi pelancong asing ke Malaysia.

 

"Pergerakan penumpang antarabangsa untuk operasi Turkiye juga meningkat sebanyak 4.9% kepada 1.5 juta semasa tempoh cuti musim panas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, pergerakan penumpang domestik bagi operasi Malaysia merekodkan 3.1 juta penumpang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, 1.6 juta iaitu masing-masing 65.7% dan 79.1% daripada tahap pra-pandemik pada 2019.

 

Semua itu menyumbang kepada pemulihan MAB dengan jumlah pergerakan penumpang berjumlah 7.9 juta penumpang (Malaysia: 4.8 juta; Turkiye: 3.1 juta) - jumlah penumpang tertinggi yang dicatatkan setakat ini. - DagangNews.com