550 jururawat Hospital UiTM terima sumbangan Suruhanjaya Koperasi | DagangNews Skip to main content

550 jururawat Hospital UiTM terima sumbangan Suruhanjaya Koperasi

Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Rusli Jaafar menyampaikan bakul makanan kepada Pengarah Hospital UiTM, Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2021 di Hospital UiTM, Puncak Alam, Selangor.

 

 

SHAH ALAM 20 Julai - Sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2021, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengedarkan pek bakul makanan kepada 550 jururawat  bernilai RM19,250, sebagai tanda penghargaan kepada pekerja barisan hadapan itu yang ikhlas bekerja demi kesejahteraan masyarakat. 

 

Penghargaan itu disampaikan kepada petugas barisan hadapan khususnya jururawat di  Hospital UiTM menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM yang berlangsung di Lobi Hospital UiTM Puncak Alam, di sini. 

 

Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Rusli Jaafar berkata, sumbangan diberikan diharapkan dapat menyuntik semangat jururawat atau petugas barisan hadapan agar kekal komited dan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada masyarakat. 

 

Katanya, selain berkhidmat di Hospital UiTM Puncak Alam, jururawat juga diberikan  tanggungjawab untuk bertugas di Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPUiTM) Sungai Buloh dan Pusat Pakar Perubatan UiTM Selayang dan beberapa lokasi lain bagi memenuhi keperluan masyarakat bagi membendung penularan COVID-19. 

 

“Jururawat Hospital UiTM juga terbabit dalam pemberian perkhidmatan di Pusat Pemberian Vaksin Mega UiTM Kampus Puncak Alam sejak 7 Jun 2021 dan Pusat Pemberian Vaksin (Khas) di PPUiTM Sungai Buloh bermula 2 Mac lalu. 

 

“Selain itu, Hospital UiTM turut menghantar tujuh jururawat mereka untuk berkhidmat di Hospital COVID-19 iaitu Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM,” katanya, pada sesi penyampaian sumbangan sempena Hari Jururawat Sedunia 2021, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Pengarah Hospital UiTM, Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim; Timbalan Pengarah Klinikal Hospital UiTM, Prof Madya Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail; Penyelaras Program, Prof Dato’ Dr. Mohd Harun Nizam; Ketua Jururawat Hospital UiTM Matron Haniza Kamaludin; dan Pengarah Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM Zainuddin Mohd Ali. 

 

Pihak SKM dan Hospital UiTM akan terus menjalinkan hubungan yang erat dan akan terus menjalankan kerjasama strategik pada masa akan datang. - DagangNews.com