59 pencawang TNB di Pahang, Johor ditutup sementara | DagangNews Skip to main content

59 pencawang TNB di Pahang, Johor ditutup sementara

TNB telah mengerakkan set janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih bagi memberi bekalan kepada 20 pusat pemindahan banjir di Pahang, berikutan penutupan sementara 55 pencawang elektrik di beberapa daerah di negeri itu.

TNB telah mengerakkan set janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih bagi memberi bekalan kepada 20 pusat pemindahan banjir di Pahang, berikutan penutupan sementara 55 pencawang elektrik di beberapa daerah di negeri itu.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 59 pencawang elektrik di negeri Pahang dan Johor setakat jam 2 petang semalam yang melibatkan 2,132 pengguna.

 

TNB berkata, daripada jumlah itu, 55 dihentitugas di beberapa daerah di Pahang termasuk Temerloh, Jerantut dan Bera, melibatkan 882 pengguna.

 

Sebanyak 12 pencawang mendapat bekalan melalui set janakuasa bergerak.

 

"Berikutan keadaan banjir di negeri itu, TNB turut memberi bekalan kepada 20 pusat pemindahan banjir yang tidak menerima bekalan daripada pencawang melalui set janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih.

 

"Manakala di negeri Terengganu dan Kelantan, tiada pencawang elektrik yang ditutup secara dua hari berturut-turut rentetan keadaan banjir yang semakin reda.

 

"Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB," jelas TNB dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, TNB memberitahu, pihaknya telah mengaktifkan bilik gerakan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor untuk tujuan pemantauan selain bagi menyampaikan maklumat berkaitan bekalan.  

 

Berikut adalah nasihat dan saranan TNB kepada mereka yang terlibat;

  • Sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang. 
  • Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik- termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air. 
  • Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan tambah TNB.
  • Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis dinaiki air. 
  • Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.
  • Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air. - DagangNews.com