Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
Menjelang hujung tahun ini, rakyat di negara ini akan mula menerima teknologi 5G apabila kerajaan menggerakkan inisiatif MyDigital yang baru dilancarkan hari ini.
Teknologi 5G akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dipacu penggunaan digital secara menyeluruh.
Pastinya dengan pelancaran teknologi ini akan melahirkan lebih ramai usahawan yang lebih berdaya saing di peringkat global dan memacu pembangunan ekonomi digital.
Tambahan pula, ekonomi digital dijangka terus memberikan sumbangan penting kepada negara tahun ini berdasarkan jangkaan sumbangan sebanyak 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 oleh Jabatan Perangkaan manakala Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 6.7%.
Menerajui ekonomi digital
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, MDEC dengan sokongan padu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan meneruskan usaha memimpin ekonomi digital supaya terus berkembang maju serta berpusat bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat seterusnya merealisasikan Malaysia 5.0.
Berpandukan 3 teras utama iaitu menyediakan rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital , MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif berpaksikan digital.
"Ini termasuklah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan rakyat mendapat manfaat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," katanya.
Dalam usaha untuk pendigitalan dan mengautomasikan perniagaan, MDEC telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk 100GoDigital, SME Digital Accelerator, Geran Automasi Pintar dan SME Digital Quickwins untuk memastikan perniagaan kecil dilengkapi kemahiran mencukupi untuk menerima manfaat dan berdepan cabaran ekonomi digital.
Sehingga kini, 335,834 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah memasuki pasaran e-dagang.
Mengenai pelaburan digital, katanya, Malaysia telah menarik pelaburan RM345 bilion pada Disember 2019 dan mewujudkan hampir 185,000 pekerjaan.
Pada tahun lalu, ia melibatkan pelaburan baharu berjumlah RM3.92 bilion dan mencipta kira-kira 9,000 peluang pekerjaan.
Perkasa PKS tempatan
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) memperincikan landasan bagi sebuah inisiatif negara yang bermanfaat serta menggalakkan perkembangan sektor e-dagang dan ekonomi digital yang semakin meluas.
Antara aspirasi yang tersenarai bagi ekonomi digital Malaysia adalah mewujudkan 500,000 pekerjaan berpendapatan tinggi baharu berkaitan dengan ekonomi digital menjelang tahun 2025, dan meningkatkan penerapan e-dagang untuk 875,000 lagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) menjelang tahun yang sama.
"Kami percaya matlamat ini tidak mustahil dan boleh dicapai melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta yang memberi impak positif.
"Di samping memberi perhatian kepada maklum balas dan idea yang berkesan daripada rakyat, usaha ini sejajar dengan misi kami untuk memperkasakan MSME tempatan.
Menurut Ian, pada 2020, Shopee membantu lebih daripada 40,000 MSME untuk menjalankan perniagaan atas talian di Shopee dalam masa hanya 3 bulan menerusi kempen e-dagang MSME.
"Kami percaya masih ada ruang untuk kita melakukan lebih banyak inisiatif lagi. Pada masa sama, kami terus membuktikan kemampuan kami dalam menyokong peniaga tempatan," katanya.
Beliau berkata, ini termasuklah golongan nelayan, petani dan peniaga kecil melalui usaha seperti e-FAMAPLACE, Durian e-Fiesta, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan baru-baru ini membantu peniaga Petaling Street untuk turut serta berniaga di platform mereka sempena Tahun Baharu Cina.
"Kami juga akan menyokong dan berusaha untuk menggalakkan agenda tanpa tunai ini menerusi dompet mudah alih kami, ShopeePay, yang kini diterima secara meluas di atas talian dan luar talian.
Menurut Ian, Shopee juga menyokong sepenuhnya inisiatif untuk meningkatkan kelajuan internet di seluruh Malaysia, terutama pembangunan rangkaian 5G di seluruh negara.
Katanya, ini akan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan, terutama di luar bandar untuk memanfaatkan e-dagang sepenuhnya.
Beliau memberitahu, dalam kaji selidik yang dijalankan Shopee tahun lalu, didapati penjual luar bandar yang baharu kepada e-dagang dapat menghasilkan purata jualan bulanan sebanyak RM3,200 walaupun tanpa akses kepada ciri-ciri seperti Shopee Live yang mampu memantapkan jualan mereka.
Tulang belakang revolusi IT
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee berkata, pelaksanaan rangkaian 5G yang menjadi tulang belakang kepada revolusi infrastruktur IT dan Revolusi Perindustrian 4.0 ini akan menjadi peristiwa bersejarah yang penting untuk negara tahun ini.
Ini kerana katanya, wabak COVID-19 menjadi pencetus kepada perkembangan pesat dalam pendemokrasian pengurusan data dan kecerdasaran pintar (AI) sekali gus membuka laluan kepada pengoptimuman operasi dalam segenap industri.
"AI berupaya membantu analisis dan pemprosesan set data yang besar dan rumit dalam kitaran hayat keseluruhan produk-produk yang lebih baik, perisian yang lebih cekap dan pengeluaran yang teroptimum.
"Malah, keselamatan siber kini menjadi komponen yang kritikal untuk mencegah ancaman siber dalam semua industri," katanya.
Beliau menyifatkan teknologi masa depan seperti sistem bersepadu, pengeluaran berautonomi dan berdaya tambah seperti cetakan 3D akan mendominasi arah aliran IR4.0 dalam industri pembuatan untuk merancakkan produktiviti.
TM lebih fokus
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Imri Mokhtar berkata, rangkaian global TM yang semakin berkembang dengan lebih daripada 20 sistem kabel dasar laut sepanjang 190,000 kilometer bersedia untuk menyokong permintaan kesalinghubungan global MyDigital.
TM membolehkan pengguna akhir mengakses dan menikmati pengalamankesalinghubungan yang lancar bagi menyokong gaya hidup dan gaya kerja yang lebih digital, melalui hubungan kukuh kami dengan rakan telekomunikasi dan kandungan global, termasuk berskala hiper.
"Kami memuji pendekatan berani dan pembentukan entiti khusus (SPV) 5G yang akan membolehkan kami lebih fokus dalam membawakan perkhidmatan generasi seterusnya dengan pantas kepada para pelanggan dalam pelbagai segmen oleh unit-unit pelanggan kami, unifi dan TM One.
"Ini membolehkan TM mempercepatkan penawaran konvergensnya kepada 2.7 juta pelanggan kediaman dan 400,000 PKS termasuk perniagaan mikro," katanya.
Bagi 11,000 pelanggan perusahaan dan awam yang semakin bertambah, TM membawa penyelesaian generasi berikutnya dan IoT ke bidang industri seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, minyak & gas dan institusi kewangan.
"Kami juga bersedia menyokong SPV 5G dengan rangkaian fiber kami sepanjang 570,000 kilometer di seluruh negara untuk membolehkan pelancaran infrastruktur 5G yang cepat dan kos efektif," jelasnya. - DagangNews.com