6 penerbangan baharu pacu trafik antarabangsa, catat 45 juta penumpang – Malaysia Airports | DagangNews Skip to main content

6 penerbangan baharu pacu trafik antarabangsa, catat 45 juta penumpang – Malaysia Airports

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Malaysia Airports Group menyaksikan peningkatan sebanyak 40% dalam trafik penerbangan antarabangsanya pada separuh tahun pertama 2024 (1H24), didorong oleh enam syarikat penerbangan baharu.

 


Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, enam Syarikat penerbangan baharu itu termasuk Cambodia Airways, Flydubai, Iraqi Airways, Juneyao Airlines, Thai Lion Air dan Turkmenistan Airlines.

 

Sebanyak 45 juta pergerakan penumpang melalui rangkaian penerbangan baharu itu bersamaan 87.9% berbanding sebelum pra-pandemik 2019.

 


MAHB yakin pertumbuhan mampan itu menunjukkan permintaan kukuh serta berpotensi mendorong pengembangan selanjutnya dalam penawaran kapasiti tempat duduk.

 

“Angka ini menandakan peningkatan ketara sebanyak 15.5% berbanding 1H23 dan mencapai 87.9% melebihi paras separuh tahun pertama (1H19),” kata kumpulan itu. 

 

Di samping itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SAW), mencapai rekod pergerakan penumpang tertinggi dengan jumlah 20 juta pada 1H24.

 

Aset Turki kumpulan itu berkata, pencapaiannya mencerminkan peningkatan sebanyak 16.4% berbanding separuh tahun pertama 2023 (1H23) dan peningkatan dua digit sebanyak 18.1% berbanding 1H19. 

 


“Pergerakan penumpang antarabangsa telah menjadi pemacu utama pertumbuhan itu, dengan 1.7 juta penumpang dicatat setiap bulan,” ulasnya. 

 


Lapangan itu mengalu-alukan dua syarikat penerbangan baharu iaitu Air Arabia, dan AJet yang meningkatkan ketersambungan dan kehadiran lapangan terbang itu di Eropah Barat.

 

Kumpulan itu menyatakan pergerakan penumpang domestiknya juga meningkat, dengan 1.8 juta penumpang didaftarkan setiap bulan, menunjukkan peningkatan sebanyak 17% berbanding 2023. 

 

Selain itu, sebanyak 65 juta pergerakan penumpang pada 1H24, bersamaan dengan peningkatan 15.8% berbanding 1H23 dan mencapai 95.4% peningkatan berbanding 2019.

 

Antara faktor peningkatan prestasi trafik teguh dan pergerakan penumpang antarabangsa termasuk peningkatan permintaan perjalanan udara, pengecualian visa bagi pelancong China dan India, dan peluasan rangkaian laluan syarikat penerbangan.

 

Kumpulan itu berkata, jumlah pergerakan penumpang antarabangsa menyaksikan 34.1 juta penumpang pada 1H24, meningkat daripada 26.5 juta pada 1H23, dan peningkatan 5.3% berbanding 2019.

 

“Pergerakan penumpang domestik juga menggalakkan, mencatatkan pertumbuhan 4.1% berbanding 1H23 dengan 30.9 juta penumpang, mencecah 86.5% paras 2019,” katanya. 


 
MAHB positif dalam mengekalkan momentum dan terus komited untuk meningkatkan pengalaman penumpang, mengembangkan rangkaian laluan, dan meningkatkan kecekapan operasi untuk menyokong pertumbuhan yang mampan.- DagangNews.com