6% syarikat Malaysia mahu kurangkan perbelanjaan keselamatan siber | DagangNews Skip to main content

6% syarikat Malaysia mahu kurangkan perbelanjaan keselamatan siber

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Walaupun majoriti perniagaan di negara ini mengakui mengalami serangan siber terutamanya selepas penularan COVID-19, namun terdapat 6% organisasi masih mahu menurunkan perbelanjaan yang diperuntukkan untuk menangani isu berkenaan.

 

Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Cisco mendapati sebanyak 56% organisasi pula berhasrat untuk meningkatkan perbelanjaan keselamatan siber, dengan 37% lagi tidak berubah.

 

Ketika membentangkan dapatan kajian itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai berkata, sebanyak 62% organisasi mengalami serangan siber yang kian meningkat, iaitu sebanyak 25% sejak permulaan penularan COVID-19. 

 

Albert Chai
Albert Chai

 

“Satu daripada 10 perniagaan di Malaysia tidak mengetahui sama ada amaran ancaman siber mereka meningkat atau menurun, dapatan yang lebih tinggi berbanding (kaji selidik) rantau Asia Pasifik,” katanya pada taklimat media bertajuk ‘Securing Malaysia’s Remote Workforce Amidst Heightened Threats and Lower Awareness’, yang berlangsung secara maya hari ini. 

 

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri dan Pengarah Pemasaran Keselamatan Siber, Koo Juan Huat.

 

Kaji selidik itu melibatkan 3,196 perusahaan kecil dan besar di seluruh 21 pasaran antaranya Amerika, Asia Pasifik dan Eropah. 

 

Tambah Albert, perbelanjaan sesebuah syarikat yang diperuntukkan bagi aspek keselamatan siber mungkin berbeza-beza di pelbagai sektor. 

 

Beliau memberi contoh sektor hospitaliti dan pelancongan yang dijangka mengurangkan peruntukan mereka bagi aspek keselamatan siber selepas terjejas akibat penularan COVID-19.

 

Katanya lagi, perniagaan-perniagaan di negara ini lebih mengutamakan perbelanjaan siber mereka ke arah pertahanan keseluruhan keselamatan siber, askes ke rangkaian, keselamatan awan serta pengesahan pengguna dan peranti. 

 

Trend yang agak sama ditonjolkan oleh perniagaan di pasaran Asia Pasifik di mana mereka meletakkan pertahanan keseluruhan keselamatan siber sebagai pelaburan utama, kata Juan Huat.

 

Koo Juan Huat

 

Ini diikuti oleh keselamatan awan, akses ke rangkaian serta pengesahan pengguna dan peranti, katanya. 

 

Di pasaran sama, sebanyak 70% syarikat mahu meningkatkan pelaburan keselamatan siber, sementara 11% lagi berhasrat untuk mengurangkannya, lebih tinggi daripada peratusan perniagaan di Malaysia.

 

Dalam pada itu, menurut Surina, semua perniagaan dan pengguna terpaksa beralih ke platform digital ekoran pandemik COVID-19, dan dalam masa sama berdepan ancaman siber yang turut meningkat. 

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Pada tahun 2020 sahaja, Cybersecurity Malaysia (CSM) mendedahkan terdapat 83% peningkatan kes serangan siber yang dilaporkan. 

 

“Jadi, tidak ragu-ragu lagi keselamatan siber ini penting, di mana menjadi teras kepada ekonomi digital. Bukan hanya syarikat besar yang berdepan ancaman ini, malah turut melibatkan perusahaan yang lebih kecil. 

 

“Menurut sebuah kajian, sebanyak 84% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengalami ancaman siber, 83% melibatkan serangan data dan 76% mengalami serangan lebih daripada sekali,” katanya. - DagangNews.com